Pemansuhan SPL KPM langkah tepat ringankan beban guru

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Mohamad Dziauddin

GEORGE TOWN – Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPL KPM) disifatkan sebagai langkah tepat dan selari dengan usaha mengurangkan beban tugas guru.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, langkah tersebut merupakan antara tujuh teras yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi meringankan beban kerja guru.

Iklan
Iklan

“Alhamdulillah, ini antara tujuh teras yang diumumkan Menteri Pendidikan untuk mengurangkan beban tugas guru.

"Matlamat kementerian akhirnya adalah untuk memberi ruang sepenuhnya kepada guru berkarya dan menumpukan perhatian kepada pengajaran di dalam bilik darjah demi manfaat murid,” katanya ketika ditemui di Majlis Apresiasi Program Transformasi Sekolah Ke Arah Lestari (TASKAL) Sekolah Pulau Pinang di Bayan Baru pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, sebarang tugasan yang boleh diringankan seharusnya difokuskan kepada pengajaran di bilik darjah, manakala urusan dokumentasi dan rekod boleh dilaksanakan melalui mekanisme lain yang lebih sesuai.

“SPL KPM ini bersifat sangat khusus dan lebih kepada rekod semata-mata. Proses merekod yang panjang itu telah diringkaskan dan akhirnya dimansuhkan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan terhadap guru,” ujarnya.

Iklan

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPM kerana mendengar suara warga pendidik selain memaklumkan bahawa langkah itu selari dengan inisiatif sebelum ini termasuk penambahbaikkan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) yang menekankan pengisian amalan baik.

“Semua ini menunjukkan kementerian benar-benar mendengar pandangan guru.

"Insya-ALLAH usaha ini akan diteruskan secara berperingkat,” katanya.

Terdahulu, Fadhlina mengumumkan pemansuhan SPL KPM sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian dalam usaha mengurangkan beban tugas guru.

Fadhlina berkata, langkah tersebut diambil selepas kementerian meneliti pelbagai intervensi sebelum ini termasuk mengenal pasti kekurangan serta keperluan sebenar bagi menangani isu beban tugas guru dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, sebelum ini KPM telah mengumumkan penambahbaikan melibatkan SSDM manakala pemansuhan SPL KPM pula dijangka memberi kesan langsung terhadap kebajikan guru dan pengurangan beban kerja mereka.

Fadhlina berkata, SPL KPM sering menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam kalangan warga pendidik kerana dianggap boleh mengganggu fokus mereka terhadap tugas hakiki di dalam bilik darjah.