Panas terik bukan halangan, Ahmad Rizal raih RM10,000 di Perlis

Iklan
Wan Mohd Fitri (dua dari kiri) bergambar bersama pemenang Pertandingan Memancing Terbuka Perlis.

PERLIS – Terik matahari dan cuaca panas melampau yang melanda Perlis ketika ini tidak menghalang Ahmad Rizal Tajuddin, 51, dari Pulau Pinang untuk menyertai Pertandingan Memancing Terbuka Perlis, sekali gus merangkul kejuaraan ketiganya di negeri ini pada Sabtu.

Ahmad Rizal yang hadir bersama sekumpulan pemancing dari Pulau Mutiara berjaya menewaskan lebih 300 peserta lain selepas mendaratkan ikan belukang seberat 1.176 kilogram (kg) pada jam 9.58 pagi.

Iklan
Iklan

Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM10,000.

Tempat kedua dimenangi penghantar barang, Mohd Nurhilman Hanizam, 26, juga dari Pulau Pinang, yang menaikkan ikan belukang seberat 0.728kg, sekali gus menerima hadiah wang tunai RM2,000.

Iklan

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik pemandu lori, Mohd Syahmi Abd Hafiz, 36, dari Perlis selepas berjaya menaikkan ikan belukang seberat 0.636kg dan membawa pulang RM1,000.

Sebahagian peserta Pertandingan Memancing Terbuka Perlis di Pantai Kuala Sungai Baru pada Sabtu.

Iklan

Ahmad Rizal berkata, beliau tidak menyangka akan sekali lagi meraih kemenangan di negeri tersebut meskipun berdepan cabaran cuaca panas dan lokasi strategik yang telah dipenuhi pemancing lain lebih awal.

“Rezeki saya di negeri ini memang sangat baik. Walaupun tempat-tempat strategik telah dipacak dengan besi pancang oleh pemancing lain, namun rezeki memang tidak pernah salah alamat.

“Syukur, walaupun agak letih kerana berpanas di bawah matahari sejak jam 9 pagi,” katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden Kelab Sukan Memancing Geng Pancing Unik (GPU), Wan Mohd Fitri Wan Shahidan.

Terdahulu, pertandingan yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu terpaksa ditunda selama kira-kira setengah jam berikutan keadaan air pasang yang perlahan akibat musim Angin Timur yang sedang melanda Perlis.

Wan Mohd Fitri berkata pihaknya merancang untuk menganjurkan satu lagi pertandingan memancing di Perlis pada 18 Mei depan.

Menurutnya, pertandingan berkenaan akan menawarkan hadiah yang lebih lumayan dengan yuran penyertaan yang rendah bagi menarik lebih ramai pemancing berkunjung ke negeri itu.