GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Dua anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) cedera selepas berlaku insiden kebakaran melibatkan belon berisi gas ringan yang dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan di Lebuh Union pada malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, belon-belon berkenaan meletup dan terbakar ketika proses pelupusan dijalankan di hadapan pejabat Jabatan Pelesenan MBPP, mengakibatkan kecederaan kepada anggota terlibat serta kerosakan pada sebuah kenderaan milik majlis.
Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk A Rajendran berkata, insiden tersebut berlaku susulan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen yang menjual belon berisi gas ringan di beberapa lokasi sekitar bandar raya.
Menurut beliau, Jabatan Pelesenan MBPP telah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti penjajaan tanpa lesen di Jalan Macalister, Jalan Utama dan Jalan Gottlieb sejak 31 Januari lalu dan mendapati terdapat penjualan belon berisi gas ringan tanpa kebenaran.
“Majlis telah mengeluarkan arahan lisan kepada penjaja terlibat supaya menghentikan aktiviti dan beredar dari kawasan terbabit.
“Namun, pemerhatian pada 31 Januari dan 1 Februari mendapati masih terdapat penjaja yang ingkar terhadap arahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Susulan itu, beliau berkata, pada sebelah petang 1 Februari, pegawai penguat kuasa MBPP telah merampas belon-belon bersama peralatan berkaitan di Jalan Gottlieb sebelum dibawa ke pejabat Jabatan Pelesenan MBPP di Lebuh Union bagi tujuan pelupusan.
Jelasnya, ketika proses pelupusan dijalankan tanpa kehadiran orang awam, pegawai penguat kuasa mencucuk belon-belon berkenaan bagi melepaskan gas yang terkandung di dalamnya.
“Bagaimanapun, belon-belon tersebut tiba-tiba meletup dan terbakar, menyebabkan dua anggota penguat kuasa MBPP mengalami kecederaan.
“Bahagian belakang sebuah kenderaan MBPP turut terbakar bersama peralatan yang dirampas,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan seorang daripada anggota yang cedera kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat melecur pada kedua-dua tangan dan sebelah muka.
“Sementara seorang lagi mengalami kecederaan ringan dan sedang berehat di rumah.
“MBPP telah membuat laporan berhubung kejadian tersebut kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari yang sama.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Majlis juga sedang meneliti langkah penambahbaikan serta prosedur keselamatan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa MBPP sentiasa mengutamakan aspek keselamatan anggota penguat kuasa serta orang awam dalam setiap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan.