Program Sekolah Angkat Madani mampu rapat jurang fasiliti pendidikan - Mohd Uzir

Iklan
Mohd Uzir (dua dari kiri) ketika menyempurnakan simbolik Majlis Perasmian Sekolah Angkat Madani di SK Sungai Limau, Sabak Bernama pada Isnin.

SABAK BERNAM - Pelaksanaan Program Sekolah Angkat Madani diyakini mampu merapatkan jurang kemudahan pendidikan khususnya membabitkan perbezaan akses teknologi dan fasiliti digital antara sekolah bandar dan luar bandar.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, inisiatif melibatkan kira-kira 1,000 sekolah di seluruh negara itu berperanan sebagai pemangkin kepada pengurangan jurang digital menerusi penglibatan berterusan kerajaan, agensi dan sektor swasta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, meskipun sumbangan yang diberikan tidak semestinya besar dari segi nilai kewangan, namun impak sebenar terletak pada usaha berterusan, keprihatinan dan penciptaan nilai melalui perkongsian ilmu dan kepakaran antara agensi dengan sekolah.

"Sekolah Angkat Madani bukan sekadar soal material, tetapi melibatkan visi dan semangat untuk membangunkan generasi pelajar dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar dan kompleks,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Limau di sini pada Isnin.

Mohd Uzir berkata, penglibatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai penjana rasmi statistik negara mampu membawa nilai tambah kepada sekolah angkat khususnya dalam aspek pendigitalan, pembelajaran berasaskan data dan penerapan teknologi seperti robotik.

Iklan

"Keterujaan saya melihat warga sekolah ini sangat tinggi, walaupun ada dalam kalangan guru berlatar belakang pendidikan agama, mereka mampu membina aplikasi dan menyesuaikan diri dengan teknologi.

"Ini satu ciri yang cemerlang dan boleh dijadikan rujukan di sekolah lain,” katanya.

Mengulas kos pendigitalan pendidikan, beliau berkata, aspek itu tidak seharusnya dilihat sebagai beban besar kerana kos teknologi lazimnya menurun selari dengan perkembangan dan penggunaan meluas.

"Paling paling penting adalah kesungguhan, kreativiti dan daya juang guru serta murid itu sendiri.

"Kita mahu melahirkan bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta yang mampu menyelesaikan masalah masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, data dan statistik yang dikumpulkan DOSM turut membantu kerajaan mengenal pasti keperluan industri dan bidang pendidikan yang wajar diberi tumpuan selaras hasrat negara ke arah pertumbuhan berasaskan bukti dan ekonomi bernilai tinggi.

Beliau turut menekankan pembangunan modal insan yang seimbang merangkumi integriti, daya tahan serta nilai murni sebagai teras utama Program Sekolah Angkat Madani.

"Kecerdikan sahaja tidak mencukupi, tetapi kita mahu pelajar yang kreatif dan inovatif di samping berteraskan nilai murni supaya mampu pergi lebih jauh dan bertahan lama,” katanya.