Isu Bazar Ramadan: DBKL akan tubuhkan jawatankuasa baharu

Iklan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh (tengah) menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Seri Wilayah pada Rabu. Foto Bernama.

PUTRAJAYA - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menubuhkan satu jawatankuasa baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) jelas berkenaan isu bazar Ramadan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, jawatankuasa baharu itu berperanan bagi menilai isu berkenaan termasuk sesi mesyuarat yang lebih kerap.

Iklan
Iklan

"Dalam 'finding' tersebut kita sediakan contohnya penamatan lesen dan sebagainya tetapi tiada SOP yang jelas.

"Kerana itu ditubuhkan jawatankuasa untuk menilai dan bermesyuarat dengan lebih kerap bagi bazar Ramadan. Kalau tunggu sebulan mungkin dah habis (bazar Ramadan), kekerapannya mungkin dua hari sekali.

Iklan

"Bila kita pergi ke tapak dan dapati contohnya lesen itu dijual kepada harga mahal, kita terus ambil tindakan dan bermesyuarat untuk batalkan lesen itu," katanya dalam sidang akhbar Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Seri Wilayah di sini pada Selasa.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Iklan

Tambah Fadlun, ini SOP yang pihaknya sediakan terutama mengenai pengeluaran lesen bagi bazar Ramadan.

"Ia ada jawatankuasa, bukan individu yang membatalkan lesen, ada SOP iaitu jawatankuasa putuskan jika ada kesalahan.

"Untuk bazar Ramadan 2026 kita telah tetapkan SOP dan akan mula ditubuhkan sebelum bazar berperasi. Denda dan kompaun juga melalui jawatan kuasa itu, sebelum ini tidak ada (SOP ini)," ujarnya.

Sementara itu, Hannah berkata, pihaknya berterima kasih selepas pertemuan SPRM dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Jelasnya, SPRM telah meneliti SOP DBKL dan melihat banyak kelemahan yang perlu dibaiki.

"Selalunya bila ada SOP kurang jelas atau 'grey area', itu membuka ruang untuk rasuah berlaku.

"Oleh sebab itu bila ada cadangan penambahbaikan, saranan itu tepat," ujarnya.

Tambah Hannah, kes permohonan lesen tapak bazar Ramadan juga telah diteliti SPRM sebelum diberi cadangan penambahbaikan.