RANTAU PANJANG -"Tolong dengar pandangan kami, bukan berpaksikan kertas kerja semata-mata."
Demikian tegas penduduk, Mohd Hirwan Che Rajioun, 44, apabila ditanya tentang penyelesaian yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusia Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menggariskan empat langkah mitigasi sementara di kawasan kritikal bagi mengurangkan impak banjir sementara menunggu penyiapan keseluruhan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Anak jati Kampung Tersang yang juga wakil kepada penduduk berkata, mereka tidak bersetuju dengan langkah yang diambil itu, sebaliknya kekal dengan pendirian supaya terusan atau anak sungai dibina.
"Kami yang hidup di sini. Kami lebih memahami keadaan dan muka bumi di sini. Tolonglah datang dengar pandangan kami," katanya yang telah mengalami kerugian ratusan ribu ringgit sejak pembinaan PLSB Sungai Golok pada tahun 2021 itu apabila rumahnya yang telah dibina tinggi masih ditenggalami banjir akibat paras air mencecah higga empat meter.
Malah, peniaga unggas itu juga terpaksa menutup kedainya selama tiga bulan bermula November hingga Januari kerana tidak sanggup menanggung kerugian ekoran banjir besar saban tahun.
Ini kerana ujarnya, jarak rumah serta kedai yang diusahakannya itu hanya sekitar 100 meter dari Sungai Golok.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Kampung Tersang, Mohd Ariffin Ismail memberitahu, pihaknya mahu mengadakan pertemuan dengan Pejabat Pembangun Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM Kelantan) dan hari ini (Isnin) surat telah dihantar untuk menetapkan tarikh pertemuan tersebut.
"Tujuan kami ingin bersemuka adalah untuk membincangkan tentang pembinaan terusan atau anak sungai.
"Hendak selesaikan masalah sekarang yang berpunca daripada pembinaan PLSB Sungai Golok adalah dengan cara buat anak sungai atau terusan terus ke Tumpat melalui Pangkalan Nangka dan bukannya alirkan ke Sungai Golok.
"Air dari Sungai Lanchang dekat Kalbot 10 harus dialirkan terus ke Tumpat melalui Pangkalan Nangka," katanya.
Menurut beliau, untuk sementara waktu ini mereka akan kekalkan benteng yang pecah bagi mengelakkan banjir teruk berlaku.
Ujarnya, jika kawasan benteng yang pecah ditutup dibimbangi ia akan menyebabkan banjir buruk berulang jika hujan berterusan.
"Kami tetap dengan keputusan untuk membina anak sungai atau terusan. Kalau kata benteng tebatan banjir siap kiri kanan dan tiada anak sungai dibuat, air hendak mengalir ke mana, sebab itu ia penting.
"Bagaimanapun kami berterima kasih kepada pihak ICU JPM dan JPS kerana cepat bertindak dan turun padang bertemu dengan kami serta sama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ini," katanya.
Penghulu Tanpa Mukim Dun Gual Periok, Sabri Muhammad pula berkata, mereka tetap dengan pendirian sebelum ini iaitu mencadangkan pembinaan segera terusan pintas (bypass) Sungai Lanchang-Lemal-Sungai Alor Mengkuang.
Memandangkan ia dikatakan menelan kos yang banyak serta mengambil masa lama untuk disiapkan beliau berkata, penduduk mencadangkan agar satu pelebaran anak sungai yang telah tersedia ada selepas benteng itu bagi mengalirkan air terus ke Tumpat dan ke Laut China Selatan.
"Pihak JPS telah tahu lokasi yang dikemukakan dan jarak antara benteng hendak ke sungai yang telah tersedia ada lebih kurang empat kilometer sahaja.
"Buat masa sekarang sungai ini telah ditutup menyebabkan air tidak boleh keluar sehingga menyebabkan Kampung Tersang menjadi tempat takungan air setiap kali banjir," katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan gabungan langkah sementara dan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan melalui PLSB Sungai Golok di Kelantan bagi memastikan perlindungan berterusan kepada penduduk dan alam sekitar.
PETRA menerusi JPS menggariskan empat langkah langkah mitigasi sementara di kawasan kritikal bagi mengurangkan impak banjir sementara menunggu penyiapan keseluruhan projek jangka panjang.
Menurutnya, langkah itu termasuk kerja pengorekan Sungai Lanchang Lemal dan mengurangkan limpahan di kawasan rendah, khususnya di Tumpat dan Pasir Mas
Katanya, tindakan lain meliputi penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Danau Tok Uban bagi menyelaras kawalan aras air dan pengurusan takungan semasa hujan lebat.
Pemasangan struktur mudah alih flood barrier wall di kawasan berisiko tinggi serta kerja pengorekan muara Sungai Golok yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, tambahnya.