Isu sosial, kesihatan mental kanak-kanak membimbangkan – Raja Puan Muda Kedah

Iklan
Tengku Sarafudin Badlishah dan Che Puan Muda Zaheeda berkenan bermesra dengan hadirin pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah Darul Aman 2025 di Dewan Seri Mentaloon di Alor Setar pada Ahad.

ALOR SETAR – Semua pihak diminta memberikan perhatian serius kepada isu sosial dan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak di Kedah yang dilihat membimbangkan, titah Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Baginda bertitah, sebanyak 514 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan di Kedah bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, selain 166 kes penglibatan kanak-kanak dalam jenayah turut dilaporkan dalam tempoh sama.

Iklan
Iklan

“Keadaan ini menuntut tanggungjawab bersama ibu bapa, pendidik, pemimpin masyarakat dan kerajaan agar tiada seorang pun anak Kedah yang tercicir daripada rahmat, peluang dan masa depan yang sejahtera,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Hari Orang Kurang Upaya (OKU) dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2025 di Dewan Seri Mentaloon di sini pada Ahad.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Iklan

Che Puan Muda Zaheeda bertitah pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah Darul Aman 2025 di Dewan Seri Mentaloon di Alor Setar pada Ahad.

Che Puan Muda Zaheeda turut menekankan isu kesihatan mental yang semakin meruncing dalam kalangan kanak-kanak, khususnya selepas pandemik apabila semakin ramai berdepan tekanan, keresahan dan kemurungan akibat beban akademik, pengaruh media sosial serta cabaran dalam keluarga.

Iklan

Baginda menambah, peningkatan kes buli sama ada secara fizikal, lisan atau dalam talian turut meninggalkan kesan emosi mendalam, menjejaskan keyakinan diri, prestasi akademik dan dalam kes tertentu memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental.

“Bukanlah dalam DNA orang Kedah untuk menjadi pembuli. Negeri ini terkenal dengan sifat lemah lembut, mesra dan penuh kasih sayang. Warisan keharmonian ini perlu terus dipelihara agar Kedah kekal sebagai negeri yang menjunjung maruah, menolak kezaliman dan menebarkan belas ihsan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menyentuh isu penyalahgunaan dadah yang disifatkan sebagai ancaman nyata kepada masa depan generasi muda apabila lebih 60 peratus pengguna dadah di negara ini terdiri daripada golongan berumur 15 hingga 39 tahun, dengan daerah Pendang mencatatkan nisbah tertinggi di Kedah.

“Angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya panggilan kecemasan kepada kita semua untuk bertindak secara kolektif,” titah baginda.

Che Puan Muda Zaheeda turut menegaskan kepentingan membina masyarakat inklusif dengan menghargai peranan warga emas dan memperkasa golongan OKU, selain menggalakkan gaya hidup sihat melalui amalan sukan sebagai budaya harian.