KOTA KINABALU - Kerajaan negeri harus menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai dan meneliti mekanisme yang perlu dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan 40 peratus yang telah diputuskan di mahkamah, sekali gus memastikan keputusan muktamad dapat dicapai selaras dengan mandat rakyat.
Pengerusi Kelab Backbencher Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masiung Banah berkata, langkah itu wajar dilaksanakan memandangkan pilihan raya telah berlalu dan rakyat telah menyatakan pendirian mereka dengan jelas, justeru suara tersebut perlu diterjemahkan dalam tindakan kerajaan.
"Rakyat telah memeterai suara mereka melalui peti undi dan sepatutnya suara itu diangkat di dewan ini untuk sama-sama kita menubuhkan kerajaan untuk mengambil posisi masing-masing sebagai memenuhi hasrat.
"Tetapi dalam begitu pimpinan GRS yang telah mengetuai perundingan kerajaan ini sanggup menggadaikan masa depan politik mereka demi untuk kestabilan politik, demi untuk menjaga perhubungan," katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 dan Usul Bagi Membawa Anggaran Pembangunan 2026 sebelum dibacakan kali kedua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Isnin.
Beliau menegaskan, kerajaan GRS mengangkat suara rakyat Sabah tanpa menafikan peranan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, memandangkan tuntutan 40 peratus merupakan kehendak jelas rakyat dan tiada alasan lagi untuk kerajaan Persekutuan melengahkan pelaksanaannya.
"Kerajaan GRS telah mengangkat suara rakyat bersama dengan tidak menidakkan keberadaan rakan-rakan kita di dalam Kerajaan Perpaduan di Persekutuan.
"Pada hemat saya, ini amat penting kerana kita berhadapan dengan suara rakyat yang inginkan supaya 40 peratus itu dikembalikan kepada rakyat.
"Kita sedia maklum, mahkamah telah membuat keputusan dan kalau itulah perjudian yang sanggup dibuat oleh kerajaan negeri, pimpinan sekarang ini, tidak ada alasan lagi bagi kerajaan persekutuan berdolak-dalik, mandat rakyat sudah terang, lagi bersuluh.
Tambah Masiung lagi, kepimpinan kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri sanggup berdepan kecaman dan sindiran demi memperjuangkan hak Sabah.
"Kerajaan pimpinan, Ketua Menteri telah menggadaikan masa depan politik sehingga kita diperli, dikedai-kedai kopi, diperli di media sosial. Apa lagi alasan yang kita mahu persembahkan kepada kerajaan Persekutuan. Inilah jawapannya. Kita mahu supaya kerajaan persekutuan tidak lagi merayu ke atas keputusan mahkamah ini," katanya.
Mengulas Belanjawan negeri yang dibentangkan Jumaat lalu oleh Menteri Kewangan, beliau telah meneliti perkara itu di mana telah dinyatakan bahawa mesyuarat telah diadakan namun menegaskan keperluan mempercepatkan penubuhan jawatankuasa khas berkaitan tuntutan 40 peratus kerana berlaku kekeliruan berhubung nilai yang dituntut.
"Memang ada disebut pada 15 November 2025, kerajaan negeri telah pun bermesyuarat. Di kesempatan ini, saya ingin menekankan lagi kepada pihak kerajaan negeri supaya mempercepatkan jawatankuasa untuk menilai dan meneliti mekanisme-mekanisme yang perlu kita tuntut.
"Saya sendiri bingung, sekejap RM10 bilion, sekejap RM40 bilion dan itulah penuhnya alasan Persekutuan untuk masih lagi sekarang tidak dapat menunaikan hasrat kita untuk menuntut 40 peratus.
"Jadi saya mahu kerajaan negeri bermula selepas DUN ini, tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai, meneliti apa mekanisme yang perlu kita persembahkan kepada persekutuan dan mesti ada keputusan yang tuntas daripada kerajaan Persekutuan," tegasnya.