KOTA KINABALU - Penyakit misteri yang menyebabkan kematian ratusan ekor ikan pelian atau kelah di sungai di Kampung Long Pasia, Sipitang, baru-baru ini disyaki berpunca daripada serangan penyakit Koi Herpes Virus (KHV).
Bagaimanapun, punca sebenar kematian ikan tersebut masih belum disahkan dan andaian berkenaan dibuat berdasarkan pemerhatian simptom klinikal yang menunjukkan ciri-ciri serangan penyakit berkenaan.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr Shuhadah Mustapha berkata, pihaknya telah mengambil sampel ikan di Sungai Ulu Padas, Kampung Long Pasia, pada Selasa, untuk dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan punca kematian.
"Bahagian Biosekuriti Jabatan Perikanan Sabah sudah turun untuk mengambil sampel di sungai tersebut dan sampel berkenaan dihantar ke Makmal Biosekuriti Kompleks Perikanan Likas, pada Rabu untuk pengesahan punca kematian.
"Namun berdasarkan pemerhatian simptom klinikal pada ikan yang mati menunjukkan ciri-ciri serangan penyakit KHV tetapi untuk punca sebenar kita masih menunggu keputusan daripada makmal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Ditanya mengenai ciri simptom yang dikenal pasti, beliau menjelaskan ikan yang dijangkiti kebiasaannya akan berenang secara tidak normal dan sering berada di permukaan air.
"Selain itu, ikan turut didapati mengasingkan diri daripada kumpulan kawanan, manakala badan ikan kelihatan kemerahan serta bahagian insang menunjukkan tanda-tanda pereputan," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa serangan penyakit tersebut tidak membahayakan manusia yang memakan ikan berkenaan.
"Namun dinasihatkan kepada penduduk kampung yang makan ikan dari sungai tersebut supaya memastikan ikan itu dimasak dengan sempurna," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian pada Rabu melaporkan ratusan bangkai ikan pelian ditemui timbul di permukaan sungai di Kampung Long Pasia.
Situasi itu sekali gus mencetuskan tanda tanya dan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang menjadikan ikan tersebut sebagai sumber makanan mereka.