Hilang enam ahli keluarga, Aman kini bergelar suami

Iklan
Abdur Rahman selamat disatukan dengan wanita pilihannya. - Foto TikTok Abdur Rahman Amir Ruddin

JOHOR BAHRU - Tragedi kemalangan maut yang mengorbankan enam sekeluarga di Kilometer 5, Jalan Segamat–Kuantan pada September 2023 masih meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia.

Selepas melalui ujian berat itu, anak sulung keluarga berkenaan, Abdur Rahman Amir Ruddin, 21, atau dikenali sebagai Aman, kini melangkah ke fasa baharu kehidupan apabila selamat bergelar suami dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Abdur Rahman, 21, berkongsi gambar pernikahan dan detik hari bahagianya itu menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya, hari ini.

“Pada hari ini, aku menerima nikahmu, dan aku merasakan betapa beratnya amanah yang dititipkan oleh ALLAH di bahuku.

Iklan

"Aku menyedari bahawa cinta bukan sekadar perasaan, tetapi satu tanggungjawab yang perlu dijaga dengan kesabaran, pengertian dan keikhlasan.

"Aku berjanji untuk menjadi temanmu dalam susah dan senang pelindung hatimu ketika dunia terasa berat dan peneduh jiwa dalam setiap langkah perjalanan hidup kita,” titip Aman.

Iklan

Abdur Rahman selamat disatukan dengan wanita pilihannya. - Foto TikTok Abdur Rahman Amir Ruddin

Manakala ibu sudaranya, Nora Hila tidak lupa menitipkan harapan dan doa buat Aman.

"Mak Ila dan Pak Long hadir ke majlis pernikahan kamu Aman. Sekarang kamu sudah menjadi ketua keluarga dan menjadi imam untuk isteri sama macam (arwah) abi.

"Jadikan abi contoh terbaik sebagai seorang suami yang bertanggungjawab dan soleh. Sedih melepaskan tapi kena berdamai dengan takdir," titip Nora Hila atau lebih dikenali sebagai Mak Ila.

Perkongsian itu sekali gus mencuri perhatian warganet, khususnya mereka yang mengikuti perkembangan hidup Aman serta adiknya, Abdullah, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam tragedi tersebut.

Imbas kembali, nahas yang menimpa meragut nyawa enam sekeluarga iaitu bapa Amir Ruddin Ismail, 46; ibu, Norahimah Noor Muhamad, 43; anaknya Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, mengejutkan rakyat Malaysia.

Mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar ibu, Allahyarham Noorahimah yang bertugas sebagai guru Sekolah Agama Kemedak.

Tujuh beranak itu menaiki Perodua Alza dan pada hari kejadian, hanya Abdul Rahman tidak ikut bersama kerana ada urusan lain.