Jasa, pengorbanan suri rumah berijazah

Iklan
Ramai wanita berijazah memilih untuk menumpukan kepada keluarga pada fasa tertentu demi memastikan asas pendidikan, emosi dan sahsiah anak-anak kukuh. Foto hiasan

PERANAN suri rumah berijazah semakin menjadi perbahasan masyarakat terutamanya apabila muncul pandangan sempit bahawa wanita berpendidikan tinggi yang memilih untuk berada di rumah ‘membazirkan’ kelayakan akademik mereka.

Persepsi sebegini bukan sahaja dangkal tetapi menafikan sumbangan besar golongan ini terhadap pembentukan keluarga dan generasi masa depan.

Iklan
Iklan

Hakikatnya, pendidikan yang dimiliki mereka memberi kesan langsung kepada kecerdasan, disiplin dan hala tuju anak-anak dalam dunia yang semakin mencabar.

Salah satu sumbangan paling kritikal suri rumah berijazah ialah kemampuan mereka menjadi penapis dan pengarah kandungan media sosial yang diterima anak-anak.

Iklan

Dalam era TikTok, YouTube dan pelbagai platform hiburan segera, kanak-kanak amat mudah terpengaruh kandungan merapu, budaya selebriti picisan atau trend tidak berfaedah.

Peranan seorang ibu yang celik akademik dan teknologi membolehkan mereka mengenal pasti kandungan toksik, memberikan bimbingan serta menerapkan pemikiran kritikal kepada anak.

Iklan

Mereka bukan sekadar mengawal penggunaan gajet, tetapi mendidik anak bagaimana membezakan fakta dengan tipu daya digital yang menjadi satu kemahiran penting generasi kini.

Tambahan pula, suri rumah berpendidikan tinggi mampu merangka jadual belajar anak secara lebih strategik dan sistematik.

Mereka cenderung memahami keperluan pembelajaran berbeza bagi setiap anak serta pendekatan pedagogi yang sesuai.

Jadi tidak hairanlah kebanyakan anak-anak yang ‘naik pentas’ musim hujung tahun ini kerana wujudnya tangan seorang ibu berpendidikan tinggi yang sabar mengajar, menyusun tugasan, memantau kerja sekolah dan membentuk disiplin belajar yang konsisten.

Ramai guru sendiri mengakui murid yang mempunyai sokongan kuat di rumah khususnya daripada ibu berpendidikan tinggi menunjukkan pencapaian yang lebih stabil.

Dalam realiti masyarakat hari ini, pilihan untuk menjadi suri rumah bukanlah kerana ketiadaan peluang, tetapi keputusan penuh pertimbangan.

Ramai wanita berijazah memilih untuk menumpukan kepada keluarga pada fasa tertentu demi memastikan asas pendidikan, emosi dan sahsiah anak-anak kukuh.

Mereka mampu memberi tumpuan yang mungkin tidak dapat disediakan ibu bapa yang bekerja sepenuh masa di luar dengan jadual ketat.

Pada masa sama, negara tidak boleh terus terperangkap dalam mentaliti lama yang mengukur nilai seseorang hanya melalui pekerjaan formal.

Ramai dalam kalangan mereka turut menyumbang melalui ekonomi digital dengan menjalankan bisnes kecil, freelancing atau perkhidmatan kemahiran dari rumah sekali gus menunjukkan bahawa ijazah mereka tetap dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk.

Malaysia kini berada pada fasa penting dalam menilai semula sumbangan kerja penjagaan kerana seperti negara maju, sudah tiba masanya negara kita mengiktiraf suri rumah berijazah melalui dasar yang lebih progresif seperti caruman keselamatan sosial, latihan peningkatan kemahiran dan peluang kerjaya fleksibel.

Jadi langkah kerajaan melaksanakan penambahbaikan serta melanjutkan skim i-Saraan dan i-Suri melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Belanjawan 2026 amat tepat kerana ia bukan hanya soal penghargaan tetapi penyediaan ekosistem keluarga yang lebih stabil dan berdaya tahan.

Suri rumah berijazah bukan membazirkan kemampuan tetapi melabur pada generasi yang akan menentukan masa depan negara.

Selama mana anak-anak terus menaiki pentas menerima penghargaan serta berjaya membezakan nilai baik dan buruk dalam dunia digital, sumbangan ibu berpendidikan tinggi wajar diraikan bukan diperlekehkan.

*Saifullah Ahmad ialah ketua wartawan Sinar Harian Perak Darul