MTL: 269 pesawah Kelantan rugi RM2.3 juta, padi tenggelam banjir

Iklan
Kenamaan yang hadir bergambar dan meraikan pesara Kada.

KOTA BHARU - Seramai 269 pesawah Kelantan bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) kerugian lebih RM2.3 juta selepas tanaman padi mereka tenggelam akibat banjir gelombang pertama pada Monsun Timur Laut (MTL) bulan lepas.

Pengerusi Kada, Khalid Abdul Samad berkata, kawasan terjejas membabitkan keluasan 741.78 hektar sawah padi dengan kerosakan berlaku ketika usia tanaman sudah melebihi 70 hari.

Iklan
Iklan

“Padi tenggelam banjir ini dalam keadaan pramasak sekali gus menyebabkan nilai kerugian tinggi.

“Kawasan terlibat membabitkan sawah di Tumpat, Pasir Putih dan Bachok,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Jasamu Dikenang 2025 di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Pengurus Besar Kada, Mohd Faizul Mustafa.

Menurut Khalid, bagaimanapun keseluruhan pesawah terjejas dilindungi bawah Skim Takaful Tanaman Padi hasil kempen pendaftaran agresif yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

Iklan

Katanya, di bawah skim tersebut, pesawah layak menerima pampasan RM3,000 bagi setiap hektar dengan jumlah pampasan dianggarkan RM225,340, hampir menyamai nilai kerugian sebenar dialami mereka.

“Pembayaran pampasan dijangka mengambil masa antara 30 hingga 60 hari selepas melalui proses pengesahan jawatan kuasa teknikal.

“Tuntutan juga akan dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Menurut beliau, kadar pendaftaran skim takaful dalam kalangan 7,200 pesawah kini mencecah hampir 90 peratus dengan caruman skim ditanggung kerajaan berjumlah RM50 juta.

Dalam pada itu, Khalid berkata, usaha mengurangkan risiko banjir berulang dilakukan melalui kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan sistem pengairan sepanjang 58 kilometer saliran dengan peruntukan RM700,000.

“Musim tanaman baharu sudah bermula pada dua minggu lepas bagi musim kedua tahun 2025,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, sejumlah 31 pesara Kada diraikan termasuk tiga waris mereka yang sudah meninggal dunia.