Jualan kosmetik timbang kilo meningkat menjelang Ramadan, Aidilfitri

Iklan
Dr Mohd Azman (dua dari kiri) meluncurkan Program Sihat Itu Saya di Kota Bharu. Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

KOTA BHARU – Jualan produk kosmetik murah yang dijual secara timbang kilo dijangka meningkat di negeri ini menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, trend itu lazimnya berlaku setiap tahun, terutama dalam tempoh dua minggu terakhir sebelum Aidilfitri apabila pelbagai produk kecantikan dijual secara terbuka di tepi jalan, khemah sementara selain platform dalam talian.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kosmetik yang dijual secara timbang kilo adalah tidak dibenarkan di bawah Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana gagal mematuhi keperluan asas yang ditetapkan.

“Produk kosmetik ini biasanya dijual tanpa label lengkap, tidak mempunyai maklumat pengilang, nombor notifikasi daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara, tarikh luput serta senarai bahan kandungan.

Iklan

Dr Mohd Azman Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

“Keadaan ini membimbangkan kerana pengguna membeli produk tersebut tanpa mengetahui risiko sebenar yang boleh menjejaskan kesihatan kulit,” katanya ketika ditemui selepas Meluncurkan Program Sihat Itu Saya di Padang Perdana di sini pada Ahad.

Iklan

Tahun lalu, operasi penguatkuasaan melibatkan penjualan produk kosmetik tidak bernotifikasi dengan 2,055 item dirampas melibatkan nilai rampasan berjumlah RM55,213.

Bagi tahun ini sehingga 31 Januari, sebanyak 66 item dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM1,060.

Dr Mohd Azman berkata, antara produk yang sering dijual secara timbang kilo ialah gincu, produk pewarna bibir dan krim pemutih wajah yang disifatkan sebagai paling berbahaya jika digunakan tanpa kawalan.

“Produk pemutih muka ini bersifat menghakis, boleh merosakkan lapisan kulit dan sel-sel penting, termasuk melanosit yang berfungsi melindungi kulit daripada kerosakan serta risiko kanser kulit.

“Kami lihat ada pengguna yang mengharapkan wajah menjadi putih, namun akhirnya mengalami kemerahan melampau, iritasi dan kerosakan kulit jangka panjang,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya terus mempergiat usaha penguatkuasaan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Mengulas cabaran penguatkuasaan, Dr Mohd Azman berkata, penjualan kosmetik secara dalam talian turut menjadi kekangan kerana identiti penjual sering tidak dapat dikenal pasti dan berada di luar bidang kuasa segera pihak berkuasa.

“Masyarakat perlu lebih peka dan berwaspada supaya tidak terpengaruh dengan kosmetik murah tanpa kelulusan, sebaliknya mengutamakan keselamatan berbanding kecantikan sementara,” katanya.