Ibu bunuh bayi baru lahir kerana beban ekonomi

Iklan
Polis kini meneruskan siasatan yang terperinci. Foto Agensi

JAKARTA- Seorang ibu berusia 34 tahun di Trenggalek, dikenali sebagai S, didakwa membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya kerana tidak mampu menanggung beban ekonomi untuk membesarkan anak keempatnya.

Ketua Kampung Terbis, Edi Purwita berkata, S dan keluarganya tergolong dalam kategori masyarakat berpendapatan rendah dan merupakan penerima bantuan sosial kerajaan.

Iklan
Iklan

Namun, beliau menekankan bahawa keluarga tersebut bukan tergolong dalam golongan kemiskinan melampau.

“Dari segi ekonomi, mereka kurang berkemampuan dan menerima bantuan sosial melalui sistem kerajaan, tetapi keadaan mereka secara umum setara dengan penduduk kampung lain,” kata Edi pada Selasa.

Iklan

Suami S memiliki kedai kopi di Surabaya dan hanya pulang ke Trenggalek kira-kira sekali sebulan.

S pula tinggal di rumah menjaga tiga anaknya yang lain, dua daripadanya masih bersekolah rendah dan seorang bersekolah menengah.

Iklan

Ketika ibu itu menjalani proses perundangan, ketiga-tiga anaknya tinggal bersama nenek mereka.

Edi berkata, pihaknya sedang berkoordinasi dengan pelbagai pihak untuk memastikan pendampingan sewajarnya bagi anak-anak tersebut sepanjang tempoh ibu mereka ditahan.

Menurut siasatan polis, S melahirkan bayi itu secara bersendirian di kebun kira-kira 15 meter dari rumahnya pada 5 Disember 2025.

Selepas kelahiran, bayi itu dianiaya dan kemudian ditutup dengan karung sehingga meninggal dunia.

Pemeriksaan forensik mendapati bayi berkenaan mengalami beberapa kecederaan akibat benda tumpul pada leher, kepala, dan dada yang menyebabkan kekurangan oksigen.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Trenggalek, AKP Eko Widiantoro berkata, bayi itu adalah anak keempat hasil perkahwinan sah S.

Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada tekanan ekonomi, kerana wang yang dihantar oleh suami tidak mencukupi untuk menampung kehidupan ibu dan anak-anaknya.

“Bukti yang diperoleh menunjukkan bayi tersebut dianiaya oleh ibunya sendiri. Motif utama berkaitan faktor ekonomi, di mana ibu tidak mengingini kelahiran anak keempat itu,” jelas Eko.

S kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 76(c) bersama Seksyen 80 Akta Perlindungan Kanak-Kanak, yang membawa hukuman penjara lebih 15 tahun jika sabit kesalahan.

Polis juga telah berkoordinasi dengan pasukan forensik dan memeriksa beberapa saksi bagi mengukuhkan siasatan. -Agensi