KOTA BHARU - Kertas siasatan berkaitan dakwaan seorang isteri bertindak 'memadukan' suaminya di Tanah Merah sudah dibuka oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).
Perkara itu disahkan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 38 dan Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.
"Seksyen 38 itu berkait akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan perkahwinan.
"Seksyen 40 merujuk kepada kesalahan berhubung akad nikah," katanya.
Menurut Mohd Asri, kes ini telah mencemarkan institusi perkahwinan serta keluarga.
Katanya, ia tidak sepatutnya berlaku.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan tindakan seorang wanita berkahwin dengan lelaki lain ketika masih bergelar isteri terbongkar selepas perkara tersebut diketahui oleh keluarga mentuanya.
Rahsia yang disimpan selama setahun itu pecah selepas perkara tersebut berjaya dihidu oleh adik iparnya, yang ingin dikenali sebagai Nur pada 6 Disember lalu.
Ia terbongkar selepas Nur memeriksa rumah suami kedua kakak iparnya itu di sebuah taman di Batu 11 di sini bersama anggota polis dan penduduk setempat bagi mengesahkan perkara tersebut.
Bagaimanapun lelaki yang didakwa 'dimadukan' oleh isterinya memaklumkan dia telah menceraikan wanita tersebut pada 15 Januari 2022.
Katanya, penceraian tersebut belum dilaporkan kepada Pejabat Agama Islam lagi.