ZHEJIANG – Seorang warga emas di timur China hampir maut selepas mengikut adat tempatan dengan tidur di atas katil mendiang ibunya bagi menenangkan roh si mati.
Menurut laporan media tempatan, Hongxing News lelaki berusia lingkungan 60-an dikenali sebagai Chen itu berasal dari kawasan luar bandar di wilayah Zhejiang dan merupakan anak tunggal.
Ibunya yang berusia 86 tahun dilaporkan berada dalam keadaan sihat sebelum meninggal dunia secara mengejut selepas mengalami cirit-birit dan muntah-muntah tidak lama selepas sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh.
Dalam keadaan berdukacita, Chen mengikut kepercayaan tempatan yang lazimnya dilakukan hingga hari ke-35 selepas kematian dengan tidur di atas katil ibunya selama beberapa hari.
Amalan tradisional masyarakat setempat tersebut dipercayai dapat membantu membimbing roh si mati ke alam akhirat dengan tenang.
Bagaimanapun, pada hari ke-10, Chen mula berasa lemah, mengalami sakit otot, cirit-birit dan muntah-muntah iaitu simptom sama yang dialami ibunya sebelum meninggal dunia.
Pemeriksaan di hospital mendapati dia dijangkiti virus bawaan kutu yang boleh menyebabkan demam, gangguan sistem penghadaman serta kegagalan organ dalam kes serius.
Doktor percaya ibunya berkemungkinan dijangkiti virus tersebut akibat gigitan kutu yang mana Chen terdedah kepada sisa rembesan ketika tidur di katil berkenaan.
Keadaan Chen dilaporkan semakin pulih selepas menerima rawatan.
Doktor mengingatkan orang ramai supaya menggunakan penghalau serangga dan segera membuang bahagian mulut kutu selepas digigit bagi mengurangkan risiko jangkitan.