‘Pasport kecil ini buka dunia saya’

Iklan
Zahariz bersama anak-anak kecil di Laya, Bhutan. Foto Facebook Zahariz Khuzaimah.

BAGI pengembara, jurugambar dan pembuat filem, Zahariz Khuzaimah, 45, pasport merah kecil yang dimiliki bukan sekadar dokumen perjalanan.

Ia adalah tiket yang membuka pintu merentas benua, budaya dan pengalaman, sekali gus membentuk jati diri serta cara beliau melihat dunia.

Iklan
Iklan

Bekas pensyarah universiti itu telah menjejakkan kaki ke lebih 50 negara sejak 2010, termasuk mengembara secara solo merentasi 18 negara dengan kayuhan basikal.

Lebih mengagumkan, Zahariz sudah meredah hampir 34,000 kilometer, berbasikal merentasi seluruh Asia hingga ke rantau Artik, meliputi Iceland, Scotland, Sweden dan Norway.

Iklan

Di sebalik ketahanan fizikal dan mental yang luar biasa, Zahariz mengakui kekuatan pasport Malaysia memainkan peranan besar dalam setiap perjalanannya.

Merentasi salji tebal di Tien Shan, Kyrgyzstan merupakan antara pengalaman Zahariz. Foto Facebook Zahariz Khuzaimah.

Iklan

Ia bukan sahaja mempermudah urusan di sempadan, malah membuka pintu pergaulan dan kepercayaan masyarakat dunia terhadapnya sebagai rakyat Malaysia.

“Berbekalkan pasport Malaysia, agak mudah untuk saya bergerak ke mana-mana, terutamanya di Eropah kerana kita tidak memerlukan visa jangka pendek.

"Kita juga ada hubungan baik dengan banyak negara, jadi saya jarang berdepan masalah ketika merentas sempadan,” katanya kepada Sinar Harian.

Lebih menarik, identiti Malaysia sering disambut dengan mesra.

Zahariz berkata, di banyak negara, termasuk Bosnia dan Asia Tengah, orang tempatan bangga dapat mengenalinya sebagai rakyat Malaysia.

“Dalam banyak perjalanan, saya lihat rakyat kita diterima baik kerana dianggap neutral, berdisiplin dan mudah didekati,” ujarnya.

Zahariz sewaktu kembaranya dengan berbasikal di Mongolia. Foto Facebook Zahariz Khuzaimah.

Namun, tidak semua pengalaman bersifat indah.

Beliau mengakui pernah berdepan sentimen negatif apabila isu global melibatkan Malaysia mencetus salah faham.

“Ketika insiden MH370, saya tidak disenangi di China. Di Mongolia, ada yang bertanya tentang kes Altantuya dan di Serbia, ada yang tidak melayani saya langsung,” katanya.

Cabaran fizikal pula jauh lebih menggerunkan.

Antara detik paling mencabar termasuk hampir mati kehausan di Gurun Taklamakan, hampir dilanggar bas di Pergunungan Tibet, terjatuh ke dalam sungai ais di Swedish Artic, hampir lemas di sungai di Indian Himalaya serta diserang kumpulan serigala di Pergunungan Kyrgyz.

Namun, bagi Zahariz, pengalaman manis tetap mengatasi segala ketakutan.

“Keramahan orang kampung di kawasan terpencil sangat menyentuh hati, malah ada yang mahu menjadikan saya anak angkat,” katanya sambil mengimbau kenangan lucu ketika memotong rambut di sebuah salon di utara Norway apabila kehadirannya menjadi perhatian kerana warna rambut hitamnya.

Kini, sebagai bapa kepada dua anak berusia 11 dan 13 tahun, Zahariz lebih memilih untuk meluangkan masa bersama keluarga serta menumpukan kepada penulisan dan penjualan hasil dokumentari dan bukunya, Dengan Basikal Aku Merentas Benua Asia.