174 destinasi terbuka untuk rakyat Malaysia

Iklan
Kekuatan pasport Malaysia membolehkan Umar dan rakyat Malaysia lain mudah untuk menjelajah dan melihat dunia luar.

KEKUATAN pasport Malaysia terus melonjak apabila menduduki ranking ketiga paling berkuasa di dunia, mencerminkan tahap kepercayaan antarabangsa terhadap negara ini.

Berdasarkan Indeks Pasport 2025 yang dikeluarkan Arton Capital, Malaysia berkongsi kedudukan itu bersama beberapa negara lain termasuk Belgium, Perancis, Sweden, Jerman, Belanda, Finland, Luxembourg, Itali, Denmark, Portugal, Switzerland, Greece, Austria, Norway dan Ireland.

Iklan
Iklan

Kedudukan tersebut membolehkan pemegang pasport Malaysia mendapat akses ke 174 destinasi di seluruh dunia, merangkumi kemudahan perjalanan melalui visa-free, visa semasa ketibaan (VoA), e-visa serta kebenaran perjalanan elektronik (ETA), sekali gus meningkatkan mobiliti antarabangsa rakyat.

Arton Capital menilai kekuatan pasport berdasarkan ‘mobility score’ iaitu keupayaan sebenar pemegang pasport untuk bergerak merentas sempadan, mengambil kira pelbagai bentuk kemudahan visa yang boleh diproses dalam tempoh singkat.

Iklan

Kekuatan pasport Malaysia memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dari segi penjimatan kos perjalanan apabila semakin banyak negara menghapuskan syarat visa fizikal atau beralih kepada eVisa percuma.

Infografik pasport Malaysia dalam ranking dunia.

Iklan

Sebagai contoh, Jepun sebelum ini mensyaratkan visa fizikal, namun sejak 1 Julai 2013, rakyat Malaysia tidak lagi perlu memohon visa bagi tujuan melancong, transit atau menghadiri mesyuarat perniagaan untuk tempoh tidak melebihi 90 hari, sekali gus mengurangkan kos perjalanan ke negara itu.

Kedudukan pasport Malaysia yang semakin baik juga menjadikannya dokumen perjalanan bernilai tinggi, memudahkan mobiliti antarabangsa termasuk ke destinasi tumpuan seperti Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.

Graduan University of York, United Kingdom (UK), Umar Zulkefli, 23, yang pernah menetap di negara itu lebih tiga tahun berkata, kelebihan pasport Malaysia memudahkan pergerakan di Eropah kerana kebanyakan negara hanya memerlukan ETA.

“Ada rakan sekelas dari Malaysia yang datang untuk semester pertukaran sekitar setengah tahun. Oleh kerana kita boleh melawat UK sehingga enam bulan tanpa visa, mereka tidak perlu memohon visa dan dapat menjimatkan kos.

Umar

“Untuk bercuti di Eropah pula, kita boleh berada sehingga maksimum 90 hari dan biasanya perjalanan sangat lancar, berbeza dengan rakan dari beberapa negara lain yang perlu memohon visa,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam konteks hubungan antarabangsa, kekuatan pasport bukan sekadar keistimewaan perjalanan, sebaliknya menjadi petunjuk kepada kestabilan negara, reputasi diplomatik dan kualiti tadbir urus.

Pakar Sosiologi Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ku Hasnita Ku Samsu berkata, pasport yang kuat mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap kestabilan kerajaan, ketelusan peraturan serta hubungan luar yang positif.

“Negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita lebih tinggi dan kestabilan politik lazimnya diberi akses visa lagi luas kerana rakyatnya dianggap kurang berisiko tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.

Ku Hasnita

Tambah Ku Hasnita, Jabatan Imigresen Malaysia juga bekerjasama rapat dengan Interpol menerusi pangkalan data Stolen and Lost Travel Documents (SLTD) yang mengandungi lebih 138 juta rekod dokumen perjalanan dari seluruh dunia.

“Malaysia turut mengendalikan Country Signing Certificate Authority (CSCA) yang membolehkan negara lain mengesahkan keaslian pasport Malaysia melalui rantaian kepercayaan tandatangan digital.

“Kedudukan pasport Malaysia bukan sekadar angka, tetapi pengesahan kukuh terhadap reputasi, kestabilan dan integriti negara di mata dunia,” katanya.