Sindiket jual pasport kita RM100,000

Iklan
Bagi sindiket imigresen haram, pengganas atau penjenayah antarabangsa, pasport Malaysia adalah ‘tiket emas’ untuk bergerak bebas tanpa menarik perhatian pihak berkuasa. Foto hiasan

KEKUATAN pasport Malaysia yang kini membenarkan akses sehingga 174 destinasi tanpa visa, visa semasa ketibaan (VOA) atau eVisa bukan sahaja memberi kelebihan kepada rakyat, tetapi turut menjadikannya antara dokumen perjalanan paling ‘mahal’ dan buruan sindiket global.

Pakar Kriminologi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin berkata, pencapaian itu menunjukkan kepercayaan antarabangsa terhadap keselamatan dan kredibiliti dokumen perjalanan Malaysia.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, bagi sindiket imigresen haram, pengganas atau penjenayah antarabangsa, pasport Malaysia adalah ‘tiket emas’ untuk bergerak bebas tanpa menarik perhatian pihak berkuasa.

“Daripada segi akses, pemegang pasport Malaysia sering melalui imigresen negara maju dengan pemeriksaan lebih ringan berbanding pemegang pasport negara lain. Kepercayaan ini boleh dieksploitasi sindiket untuk menyeludup manusia, mengedar dadah atau melakukan aktiviti jenayah lain.

Iklan

“Permintaan terhadap pasport Malaysia dalam pasaran gelap juga sangat tinggi, terutama daripada warganegara konflik atau negara dengan sekatan perjalanan. Pasport Malaysia palsu atau diubah suai boleh dijual RM30,000 hingga RM100,000 bergantung kepada pembeli,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Zalmizy, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia berdepan beberapa siri pendedahan mengejutkan melibatkan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara, termasuk kes seorang lelaki Singapura yang dilaporkan menggunakan pasport Malaysia palsu sebanyak 876 kali untuk melepasi pemeriksaan imigresen di republik itu.

Iklan

Kata beliau, kes ekstrem itu bukan sahaja menunjukkan keberanian penjenayah tetapi memperlihatkan bahawa jenayah dokumen semakin maju, terancang dan bersifat rentas sempadan.

Jelasnya, walaupun kerajaan telah memperkukuh keselamatan dengan pasport biometrik dan sistem pengesahan canggih, sindiket terus menyesuaikan taktik dengan beberapa cara, antaranya memalsukan dokumen sokongan seperti sijil lahir untuk mendapatkan pasport sah.

“Selain itu, rasuah melibatkan kakitangan dalaman, mencuri identiti rakyat Malaysia yang telah meninggal dunia dan mengeksploitasi kelemahan dalam sistem yang masih belum beralih sepenuhnya kepada ePasport,” ujar beliau.

Pasport Malaysia mempunyai ciri keselamatan yang sangat tinggi, termasuk cip biometrik dan ukiran laser yang menjadikannya sukar dipalsukan.

Tambah Zalmizy, sindiket jarang bergantung kepada pemalsuan fizikal pasport Malaysia kerana dokumen tersebut mempunyai ciri keselamatan yang sangat tinggi.

Sebaliknya, sindiket lebih kerap mengeksploitasi kelemahan manusia dan proses, bukan kelemahan pasport itu sendiri.

“Salah satu taktik utama ialah penyamaran identiti yang mana sindiket menggunakan dokumen sokongan yang dicuri, dipalsukan atau ‘dibeli’ seperti kad pengenalan, sijil lahir atau dokumen rakyat tempatan untuk memohon pasport tulen bagi pihak warga asing.

“Apabila permohonan dibuat menggunakan identiti orang lain, pasport yang terhasil adalah tulen dari segi sistem, tetapi digunakan oleh individu yang bukan pemilik sebenar. Taktik ini amat berbahaya kerana ia menghasilkan dokumen sah yang boleh melepasi semua semakan imigresen,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, pasport Malaysia mempunyai ciri keselamatan yang sangat tinggi, termasuk cip biometrik dan ukiran laser yang menjadikannya sukar dipalsukan.

“Disebabkan itu, apabila sesuatu pasport begitu sukar ditiru, pasport tulen yang dicuri, dijual atau diperoleh melalui penyamaran identiti menjadi jauh lebih berharga.

“Sindiket sanggup membayar harga tinggi untuk mendapatkan pasport tulen kerana dokumen itu boleh lolos di mesin imigresen dan tidak dikesan sebagai palsu,” katanya.

Ujar beliau, semua faktor itu menunjukkan bahawa kekuatan akses global, reputasi negara yang tidak mencurigakan serta ciri keselamatan yang tinggi menjadikan pasport Malaysia antara dokumen yang paling bernilai di pasaran gelap.

“Disebabkan itu juga, semakin kuat pasport, semakin besar risiko dieksploitasi. Bagi sindiket, pasport Malaysia bukan saja mudah untuk digunakan tetapi sangat berharga kerana membuka banyak pintu antarabangsa,” katanya.