Polis salah, penjenayah tidak

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kes tembakan yang berlaku di Durian Tunggal pada 24 November lalu.

ARTIKEL ini ditulis sebagai respons kepada seorang peguam yang mengatakan beliau kini khuatir untuk keluar malam.

Beliau menyebut: “Saya pun takut. Malam-malam saya pergi tengok wayang dan balik rumah jam 12 tengah malam, (kalau) tiba-tiba kena tahan (di mana-mana, kemudian) kena tembak.

Iklan
Iklan

“Takut ke tak? Saya takut. Saya India,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Kononnya ia merujuk kepada kegagalan pihak polis untuk memberikan perkembangan positif tentang siasatan kematian tiga suspek penjenayah di Melaka baru-baru ini.

Iklan

Dalam kejadian jam 4.30 pagi 24 November lalu, tiga suspek lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripadanya didakwa melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Anggota polis berpangkat koperal yang berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.

Iklan

Kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan mereka dikatakan aktif melakukan jenayah sejak 2024 dan terlibat dalam 20 kes di Melaka, selain masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor.

Jenayah tersebut dipercayai menyebabkan kerugian kira-kira RM1.35 juta.

Cuma keadaan sudah jadi terbalik apabila keluarga suspek penjenayah ini mendakwa mereka tidak melakukan perkara tersebut dan polis telah melakukan kesilapan.

Kita simpati kepada keluarga suspek penjenayah ini kerana mereka kehilangan orang yang tersayang, kalau pihak polis ada niat tidak baik memang wajarlah tindakan tegas diambil.

Tetapi bagaimana dengan nasib anggota polis yang cedera parah itu? Begitu juga dengan mangsa-mangsa yang kehilangan harta benda yang mungkin dilakukan suspek.

Jadi kalau satu pihak bercakap tentang keadilan bagi mereka, maka kita juga mengharapkan keadilan kepada mangsa yang terlibat.

Ada pihak mengatakan pihak polis perlu mengambil tindakan dengan penuh sopan santun dan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan untuk penjenayah.

Tetapi malangnya penjenayah pula tidak perlu sebarang SOP ketika melakukan kerja-kerja mereka untuk mencari ‘rezeki’ dan ‘sesuap nasi’.

Mereka bebas untuk mencederakan mangsa dan mengambil apa sahaja yang bukan milik mereka.

Ini merupakan amalan penjenayah sejak dulu tetapi sekarang kalau pihak polis buat kesilapan, yang salah polis dan bukan penjenayah.

Silap hari bulan kerajaan dan polis kena bayar pampasan berjuta-juta ringgit kerana tak ikut SOP tangkap penjenayah. Begitulah seronoknya jadi penjenayah zaman sekarang.

Berbalik kepada kata-kata peguam itu tadi, usahlah cuba menimbulkan persepsi negara ini tidak aman dan satu-satu kaum dijadikan sasaran kezaliman.

Jangan hendak bandingkan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang jauh lebih rasis dan ekstrem.

Kita semua hendak hidup dengan aman dan damai - tiada siapa mahu jadi mangsa jenayah dan jangan cuba kaitkan jenayah dengan isu perkauman.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian