TAMPIN - Di sebalik gelak tawa dan langkah kecil anak-anak istimewa, sering tersembunyi perjuangan yang tidak terlihat dan ibu bapa mencari ruang terapi yang mampu membantu anak mereka berkembang.
Di Tampin, perjuangan itu semakin ringan apabila kemudahan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald dibuka secara percuma kepada keluarga yang memerlukan.
Kesedaran tentang pentingnya sokongan awal untuk kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya autisme, mendorong Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) menyediakan bilik-bilik terapi sensori di seluruh negara.
Bagi ribuan keluarga, langkah ini bukan sekadar program tanggungjawab sosial, tetapi peluang mengubah masa depan anak-anak mereka.
Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian komitmen pihaknya untuk mewujudkan ruang kondusif bagi anak-anak berkembang mengikut kemampuan masing-masing dengan sokongan keluarga dan komuniti.
“Setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat peluang untuk berkembang dalam suasana positif.
“Melalui bilik terapi ini, kami bukan sahaja mahu membantu mereka belajar mengawal emosi dan tumpuan, tetapi juga memberikan ketenangan kepada ibu bapa apabila melihat kemajuan anak mereka,” katanya.
Sejak 1999, sebanyak 36 Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald telah memberi manfaat kepada kira-kira 4,500 kanak kanak berusia tiga hingga 18 tahun di seluruh negara.
Bagaimanapun, keperluan terhadap kemudahan itu terus meningkat.
Menurut Mohd Nasri, masih banyak pusat jagaan anak autisme, terutamanya di luar bandar, tidak mempunyai bilik terapi kerana kekangan kos.
“Kos penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan ini tinggi dan ramai ibu bapa tidak mampu menanggungnya. Di hospital dan klinik kesihatan kerajaan pula, jumlah pesakit terlalu ramai,” ujarnya.
RMHC Malaysia turut menempatkan bilik-bilik terapi sensori di hospital pengajar, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta institusi pendidikan khas.
“Kami tidak mampu memenuhi semua permintaan, tetapi kami berharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat korporat untuk bersama-sama menyediakan fasiliti penting ini,” katanya.
Beliau mengakui kejayaan inisiatif itu tidak akan tercapai tanpa sokongan berterusan McDonald’s Malaysia, pelanggan dan para penderma.
Bilik terapi paling komprehensif di Tampin
Di Tampin, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald disenaraikan sebagai satu-satunya kemudahan seumpamanya yang terletak dalam kawasan restoran McDonald’s.
Pakar Terapi Cara Kerja RMHC Malaysia, Muhammad Yusof Abdul Kadir menyifatkannya sebagai bilik terapi paling komprehensif.
“Sesetengah bilik menyediakan satu kategori terapi, tetapi di sini ia dilengkapi lampu interaktif, permainan sensori, muzik menenangkan dan bahan rangsangan visual.
“Semua ini membantu kanak-kanak menenangkan diri, meningkatkan tumpuan serta merangsang perkembangan deria,” jelasnya. Selain rawatan oleh juruterapi bertauliah, ibu bapa turut diajar teknik asas untuk melakukan terapi di rumah.
Sebelum ini, ibu bapa di Tampin perlu menunggu lama di Hospital Tampin atau klinik kesihatan, malah ada yang ke Melaka demi mendapatkan rawatan.
Perubahan kecil mengubah masa depan
Bagi seorang ibu, Nurazlihazah Ahmad Ali, 40, kemudahan itu membawa sinar harapan baharu buat anak lelakinya.
“Alhamdulillah, saya melihat banyak perubahan sejak dua tahun dia menjalani rawatan di sini. Dia mula memahami arahan ringkas dan tahu apa itu bahaya.
“Bilik terapi di sini sangat selesa dan anak saya boleh mendapat rawatan lebih kerap, empat kali sebulan. Ia benar-benar mempercepatkan perkembangannya,” katanya.
Kisah Nurazlihazah hanyalah satu daripada ribuan cerita perjuangan ibu bapa yang mendambakan kemajuan kecil dalam kehidupan anak mereka.
Bagi mereka, setiap senyuman, respon dan kemajuan adalah hadiah yang tidak ternilai.
Di sebalik pintu sebuah bilik terapi sensori, harapan yang mungkin pernah terasa jauh kini semakin dekat.