Rakyat Malaysia boleh pinda nama atau gelaran - JPN

Iklan
Badrul Hisham (kanan) beramah mesra selepas menyerahkan MyKad kepada Shaharuddin di rumahnya di Kampung Keting, Gunong, Bachok pada Jumaat.

BACHOK - Rakyat Malaysia dibenarkan memindah nama atau gelaran serta butiran pada MyKad atau sijil kelahiran pada bila-bila masa mengikut syarat ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias bagaimanapun berkata, ramai tidak menyedari bahawa dokumen keluaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bukanlah bersifat statik, sebaliknya sentiasa boleh dikemas kini mengikut keperluan semasa, terutama bagi kes lama yang berlaku puluhan tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi pendaftaran pada zaman dahulu jauh berbeza kerana ramai pemaklum ketika itu tidak menyediakan dokumen lengkap sehingga menyebabkan ada maklumat tertentu tidak direkodkan.

“Kita bercakap tentang kes 20, 30 tahun dulu. Ketika itu pemaklum mungkin tidak memberi nama bapa, atau tiada dokumen dibawa. Berbeza hari ini, setiap yang datang ke JPN lengkap dengan dokumen, jadi isu itu tidak timbul lagi,” katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.

Iklan

Sebelum itu beliau menyampaikan MyKad kepada Shaharuddin Basir, 58, dari Kampung Keting, Gunong di sini yang telah menanti untuk memiliki pengenalan diri itu sejak 45 tahun lalu.

Badrul Hisham memberitahu, antara pembetulan yang sering dibuat termasuk penukaran nama, penambahan gelaran, pembetulan ejaan atau memendekkan nama yang terlalu panjang.

Iklan

“Contohnya, dulu ada yang tidak mahu menggunakan gelaran keturunan seperti Tengku kerana dianggap tidak perlu. Tetapi apabila dewasa dan mahu menggunakan semula, ia boleh dibuat dengan syarat dibuktikan mempunyai keturunan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, walaupun peraturan menyebut pindaan nama dalam sijil kelahiran hanya boleh dilakukan dalam tempoh setahun, namun perubahan nama pada MyKad masih boleh dilaksanakan apabila seseorang mencapai umur 12 tahun.

“Kadang-kadang nama diberi terlalu glamor atau terlalu panjang sehingga menyusahkan apabila hendak berkahwin atau berurusan rasmi. Jadi mereka datang untuk memendekkan nama, dan itu boleh dibuat bila-bila masa dengan alasan munasabah,” katanya.

Tambahnya, JPN juga menimbang permohonan berkaitan perubahan ‘bin’ atau ‘binti’, termasuk keperluan pelajar yang belajar di luar negara dan mahu menyesuaikan nama mereka untuk tujuan akademik.

“Kita ambil kira semua. Ada yang sering sakit, lalu percaya kepada keperluan menukar nama. Ada pelajar luar negara tidak dibenarkan menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ oleh institusi mereka, jadi kita pertimbangkan. Tidak semua diluluskan, tetapi kita bantu berdasarkan kesesuaian,” katanya.

Beliau menegaskan, setiap permohonan perlu disertakan bukti kukuh kerana JPN bertanggungjawab menjaga integriti rekod negara.

“Prinsip kita mudah jika wujud asas dan pembuktian, rakyat berhak membuat pindaan. Dokumen JPN bukan sesuatu yang kekal selamanya tanpa boleh diubah,” katanya.