Ahmad Zahid cadang skim potongan gaji sukarela perluas program wakaf al-Quran

Iklan
Ahmad Zahid ketika berucap pada Perasmian Program Waqaf Al-Quran Ke-19 Peringkat Kebangsaan di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa mencadangkan pelaksanaan Skim Potongan Gaji (SPG) secara sukarela membabitkan petugas kerajaan, badan berkanun dan sektor swasta sebagai antara kaedah memperluas program wakaf al-Quran.

Beliau berkata, perkara ini akan menjadi langkah strategik bagi memastikan kelangsungan serta peluasan program berkenaan di negara ini.

Iklan
Iklan

"Melalui skim ini, sumbangan kecil yang dilakukan secara konsisten mampu membina impak besar. 

"Wakaf boleh diniatkan untuk diri sendiri, ahli keluarga, atau dihadiahkan pahalanya kepada ibu bapa dan insan tersayang yang telah kembali ke rahmatullah, sekali gus menjadikan wakaf ini sebagai jambatan kasih yang merentas masa dan generasi," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa. 

Ahmad Zahid (tiga, kanan) pada Perasmian Program Waqaf Al-Quran Ke-19 Peringkat Kebangsaan di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran pada Selasa. Foto Bernama

Iklan

Ahmad Zahid berkata, sekiranya SPG dilaksanakan, beliau berharap pihak yang menguruskannya tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pihak yang berwakaf.

"Saya berharap pihak Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) yang akan menguruskan pemotongan gaji ini, tidak mengenakan sebarang bayaran kepada Nasyrul Quran (pusat pencetakan al-Quran).

"Saya juga meminta supaya ahli-ahli koperasi di seluruh negara memberikan sumbangan melalui Angkasa agar wakaf al-Quran ini lebih diperbanyak kerana sasaran kita, selain menterjemahkan al-Quran ke dalam 30 bahasa, pengedaran al-Quran juga dihantar ke negara minoriti Muslim," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyeru pempengaruh media sosial untuk menggunakan pengaruh mereka mengajak orang ramai menyumbang sekurang-kurangnya sebuah mushaf al-Quran sebagai wakaf.

Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan kolaborasi strategik antara Nasyrul Quran, Yayasan Restu serta pempengaruh termasuk pencipta kandungan di platform media sosial seperti TikTok untuk memanfaatkan dunia tanpa sempadan dan sistem komunikasi digital yang semakin terbuka.

"Gunakanlah peluang ini, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan, untuk mengajak masyarakat menyumbang wakaf al-Quran kerana ia mampu memberikan impak besar kepada kelangsungan program ini," katanya. - Bernama