KUALA LUMPUR - Malaysia dan Jerman terus memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara yang semakin berkembang positif termasuk menerusi usaha memuktamadkan Joint Declaration of Intent (JDOI) bagi mengangkat hubungan dua hala ke tahap yang lebih strategik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di Facebooknya berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Duta Besar Jerman ke Malaysia, Silke Riecken-Daerr di Wisma Pertahanan di sini pada Selasa.
"Perbincangan turut menyentuh kerjasama industri pertahanan selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan pada bulan lepas, serta sokongan Jerman melalui Enable & Enhance (E&E) Initiative.
"(E&E) Initiative ialah inisiatif bantuan keselamatan kerajaan Jerman yang bertujuan membantu rakan strategik meningkatkan keupayaan ketenteraan dan keselamatan, khususnya di rantau Indo Pasifik,” katanya menerusi hantaran itu.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan yang bermula pada 2024 termasuk dengan cadangan menaik taraf kemudahan latihan tentera darat.
Selain itu, pertemuan turut membincangkan penglibatan industri pertahanan Jerman dalam pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026, katanya.
Mohamed Khaled turut menyifatkan keseluruhan perbincangan mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Jerman dalam memperkukuh keselamatan serantau, pembangunan keupayaan serta ekosistem pertahanan yang mampan demi kepentingan bersama. - Bernama