16 pertuduhan terima suapan, anggota JPJ dipenjara 2 tahun dan denda RM208,000

Iklan
Tertuduh (tengah) yang berdepan 16 pertuduhan rasuah dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM208,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat.

MELAKA - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM208,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah terhadap 16 pertuduhan menerima suapan daripada pengusaha lori sembilan tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Ahmad Jamil Md Saru, 43, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Tertuduh disabitkan bersalah atas enam pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama, serta 10 pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Bagi enam pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 17(a), mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM158,000, dengan tambahan hukuman penjara antara tiga hingga lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Iklan

Hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak bermula Jumaat.

Sementara itu, bagi 10 pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, tertuduh dikenakan denda keseluruhan RM50,000.

Iklan

Tertuduh boleh dipenjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Jamil menerima rasuah berjumlah RM36,100 daripada pengusaha lori sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori yang diperiksa.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan itu dilakukan antara 26 Januari 2016 sehingga 3 Mac 2021.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat, memohon hukuman berat dikenakan dengan alasan rasuah merupakan kesalahan serius dan melibatkan kepentingan awam.

“Tertuduh sebagai pembantu penguat kuasa JPJ yang berurusan dengan orang awam gagal memberikan contoh baik apabila menyalah guna kuasa dan jawatan.

“Ia secara tidak langsung mencemarkan imej JPJ. Hukuman tegas perlu dikenakan sebagai peringatan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Mohd Azlan Shah Mohd Allias merayu hukuman diringankan kerana ini merupakan kesalahan pertama, selain tertuduh menanggung isteri dan dua anak berusia 19 dan 13 tahun.

“Anak sulung tertuduh baru meninggal dunia bulan lalu akibat kanser, keluarga masih bersedih. Tertuduh juga menghadapi masalah kewangan akibat menanggung kos rawatan sebelum ini, selain masih ditahan kerja dan mempunyai komitmen rumah serta kereta,” katanya.

Mohd Azlan Shah turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan syarat Notis Rayuan difailkan pada hari sama.

Selain itu, mahkamah turut menaikkan jumlah jaminan daripada RM10,500 kepada RM15,000 sementara menunggu proses rayuan.