Bina generasi buat dua, tiga kerja

Iklan
Dua pekerjaan bukan hanya soal masa atau duit. Ia menyentuh perkara yang lebih halus iaitu emosi dan kemanusiaan. Foto dijana AI

ADA sesuatu yang berubah dalam landskap kehidupan kita tanpa disedari.

Dulu, apabila seseorang bekerja dua pekerjaan, ia dianggap tanda rajin untuk menambah duit poket.

Iklan
Iklan

Hari ini, buat dua pekerjaan bukan lagi anomali. Ia hampir menjadi standard dalam kalangan generasi muda terutama di bandar-bandar besar.

‘Kerja tetap ada, tapi gaji tak cukup,” kata seorang anak muda berusia 25 tahun yang saya temui di sebuah gudang e-dagang di Bukit Raja, Klang baru-baru ini ketika lawatan Menteri Komunikasi ke sana.

Iklan

Ayat anak muda itu ringkas tapi meminjamkan satu ironi kepada zaman yang sedang kita lalui iaitu kerja tetap tidak lagi cukup untuk membolehkan kita berehat di rumah pada hujung minggu.

Fenomena ini bukan sekadar trend gaya hidup. Ia sebenarnya cermin besar yang memantulkan ketempangan sistem ekonomi kita apabila kos hidup mendahului pendapatan.

Iklan

Masa seseorang tidak lagi dimiliki diri sendiri sebaliknya dibahagi halus mengikut tuntutan kelangsungan hidup.

Jika kita jujur, kita akan mengakui fenomena ini tidak terbina dalam sekelip mata.

Ia disemai perlahan-lahan sejak satu dekad lalu ketika gaji median naik seperti siput, tetapi harga barangan naik seperti kuda.

Pada awalnya, dua pekerjaan hanya dilakukan ketika terdesak untuk menampung perbelanjaan di universiti, mengurus hutang motosikal atau membayar deposit rumah sewa.

Sekarang, ia berlaku secara rutin dan kadang-kadang tanpa pilihan.

Seorang jurutera muda kini menjadi penghantar makanan pada malam hari. Seorang guru tuisyen menjadi peniaga kecil dalam talian. Seorang penjawat awam menambah pendapatan dengan jualan makanan hujung minggu.

Mereka tidak malas. Mereka sebenarnya terlalu rajin kerana sistem memaksa begitu.

Persoalannya, patutkah kita melihat fenomena ini sebagai tanda sebuah negara yang dipenuhi insan berani berusaha atau sebagai isyarat bahaya bahawa pendapatan asas rakyat semakin tumpul berbanding keperluan hidup?

Dua pekerjaan bukan hanya soal masa atau duit. Ia menyentuh perkara yang lebih halus iaitu emosi dan kemanusiaan.

Apabila seorang dewasa muda bekerja dari 9 pagi hingga 6 petang, kemudian meneruskan pekerjaan kedua hingga 11 malam, apa yang sebenarnya kita sedang bina?

Belum lagi mengambil kira hal yang tidak terlihat seperti lewat kahwin, hubungan keluarga yang renggang dan rapuh kesihatan mental.

Ekonomi baru

Ramai yang mengatakan ‘inilah realiti ekonomi baru’. Memang benar bahawa ekonomi gig, perniagaan kecil dalam talian dan platform penghantaran memberi ruang kepada anak muda meraih pendapatan tambahan.

Pada masa sama, ia mendedahkan kelompangan besar dalam struktur upah negara kita.

Jika dua pekerjaan menjadi normal, itu bukan tanda masyarakat bekerja keras. Itu tanda gaji utama tidak lagi memainkan fungsi asal memberi kehidupan yang bermaruah.

Lebih membimbangkan, kita semakin hilang sensitiviti terhadap fenomena ini. Kita tepuk bahu anak muda yang gigih bekerja dua pekerjaan, memuji semangat dan ketabahan mereka.

Kita meraikan ketabahan, tetapi memekakkan telinga terhadap keperitan. Inilah kecacatan paling besar iaitu menormalisasikan keperitan.

Kejayaan ekonomi negara tidak sepatutnya diukur dengan berapa ramai berniaga sambilan tetapi berapa jumlah pekerja yang boleh hidup stabil hanya dengan satu pekerjaan.

Ini yang menentukan warna masa depan dan sebuah negara tidak akan ke hadapan dengan generasi yang terlalu letih untuk bermimpi.

Jika hari ini kita tidak memperbetulkan sistem gaji, kos hidup dan nilai kerja, kita mungkin akan melahirkan generasi masa depan yang bekerja tiga pekerjaan pula dan ketika itu, barulah kita sedar kerosakan itu sudah terlalu dalam untuk diperbaiki.

*Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian