PUTRAJAYA – Pejabat Ombudsman Parlimen Denmark menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama serta bertukar kepakaran dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus sektor awam negara.
Ombudsman Parlimen Denmark, Christian Britten Lundblad berkata, pihaknya terbuka untuk berkongsi pengalaman, falsafah dan idea yang menjadi tunjang kepada konsep ombudsman di peringkat global.
“Kami sedia berkongsi pendekatan dan kefahaman mengenai fungsi ombudsman di seluruh dunia, termasuk bagaimana institusi ini membantu meningkatkan ketelusan dan integriti pentadbiran awam.
“Pejabat ombudsman di Denmark turut mempunyai kuasa untuk membuka siasatan terhadap kes berkaitan rasuah serta melakukan semakan umum terhadap isu tadbir urus kerajaan,” katanya.
Lundblad yang juga Presiden Mahkamah Frederiksberg berkata, untuk rekod, Denmark tidak mempunyai badan khusus menangani rasuah.
“Bagaimanapun Pejabat Ombudsman Parlimen Denmark antara entiti yang memegang bidang kuasa dalam isu integriti, pelanggaran tatakelakuan dan akauntabiliti sektor awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Ahmad Khusairi berkata, kekuatan mekanisme tadbir urus Denmark serta rangka kerja integriti yang mantap menjadi rujukan penting untuk memperkasakan usaha pencegahan rasuah di Malaysia.
“Pertemuan ini memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh akauntabiliti dan ketelusan pentadbiran awam.
“SPRM akan terus meningkatkan usaha pencegahan rasuah menerusi pengukuhan keupayaan penguatkuasaan, pembaharuan tadbir urus dan langkah-langkah integriti sektor awam,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim; Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Mohd Gunawan Che Ab Aziz; Duta Denmark ke Malaysia, H.E. Kristine Vangkilde Berner; serta pegawai kanan Kedutaan Diraja Denmark dan Pejabat Ombudsman Parlimen Denmark.