KUALA KEDAH - Dua buah rumah dan sebuah kedai runcit musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Jalan Kilang Baja, Kampung Masjid Lama di sini pada malam Rabu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.08 malam.
Iklan
Iklan
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja bergegas ke lokasi kejadian dan dibantu oleh BBP Alor Setar.
“Turut membantu operasi pemadaman ialah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya, Kuala Kedah, Jalan Kundur, Kilang Tebu dan Alor Mengkudu,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata, Komander Operasi melaporkan setibanya di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan tiga premis, iaitu dua rumah dan sebuah kedai runcit.
Jelasnya, setakat ini, peratusan kebakaran dianggarkan sekitar 70 peratus dan operasi pemadaman masih dijalankan bagi mengelakkan api daripada merebak ke premis berhampiran.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba," ujarnya.