ART Johor dimuktamadkan tidak lama lagi - Anthony Loke

Iklan
Anthony Loke berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas - Johor Bahru di Stesen Kempas Baru pada Khamis. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan akan memuktamadkan permohonan kerajaan Johor mengenai kelulusan projek pengangkutan rel Sistem Aliran Transit Automasi (ART) dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbincangan mengenai projek ART berkenaan sedang berjalan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Iklan
Iklan

"Kelulusan ART sedang bincangkan, tetapi masih ada perincian yang belum dimuktamadkan, kita akan muktamadkan dalam masa terdekat.

"Banyak perbincangan sedang berlaku, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Saya yakin akan ada keputusan dalam masa terdekat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen Kempas Baru pada Khamis.

Dalam pada itu, Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek ART amat penting seiring dengan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka pada awal 2027.

Iklan

Menurutnya, tiga jajaran terlibat dengan projek ART iaitu Tebrau, Sekudai dan Iskandar Puteri, dengan jajaran Tebrau perlu diutamakan kerana menyumbang lebih 75 peratus kenderaan masuk dan keluar ke ibu negeri Johor.

“Tempoh siap satu jajaran bergantung kepada kaedah pelaksanaan, sama ada sekaligus atau secara pakej, namun anggaran masa mungkin antara dua hingga tiga tahun.

"Projek ART ini dijangka melebihi RM10 bilion dan masih di peringkat perancangan awal," katanya.

Pada bulan lalu, ketika sidang Dewan Undangan Negeri, Johor sekali lagi mendesak kerajaan Persekutuan mempercepatkan kelulusan projek pengangkutan ART.

Berdasarkan dapatan dianggarkan seramai 40,000 penumpang RTS bagi setiap empat jam pada tempoh waktu puncak awal pagi dan petang.