Mandat berbeza, alumni bantah AYTK diganti Sekolah Imtiaz Swasta

Iklan
PAPAYTK dalam satu kenyataan memaklumkan, bantahan telah disuarakan menerusi tiga halaman surat rasmi pada Rabu.

KEMAMAN – Persatuan Alumni Penghuni Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (PAPAYTK) menolak cadangan Kerajaan Terengganu untuk menggantikan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) dengan Sekolah Imtiaz Swasta.

PAPAYTK dalam satu kenyataan memaklumkan, bantahan telah disuarakan menerusi tiga halaman surat rasmi pada Rabu yang menyatakan bahawa penutupan AYTK secara mengejut berpotensi menjejaskan masa depan hampir 150 pelajar, termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), daripada keluarga B40.

Iklan
Iklan

“AYTK telah beroperasi hampir 40 tahun sebagai legasi sosial penting yang membantu ribuan pelajar luar bandar memperoleh pendidikan berkualiti.

“Ia berfungsi sebagai platform sokongan bagi pelajar berprestasi sederhana yang memerlukan bimbingan, manakala Imtiaz pula untuk pelajar cemerlang dalam akademik dan hafazan.

Iklan

“Penutupan mengejut boleh membawa implikasi buruk, termasuk penempatan baharu yang tidak kondusif, risiko pelajar terpaksa pulang ke rumah yang tidak sesuai, serta gangguan emosi dan akademik,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, PAPAYTK memandang serius cadangan penutupan AYTK dan penggantiannya dengan Sekolah Imtiaz Swasta kerana kedua-dua institusi tersebut mempunyai mandat yang berbeza.

Iklan

“AYTK berfungsi sebagai platform bagi pelajar berprestasi sederhana, termasuk yang tidak lulus tapisan sekolah elit, manakala Imtiaz menumpukan kepada pelajar cemerlang melalui tapisan akademik dan hafazan yang ketat.

“Ekosistem AYTK yang mengumpulkan pelajar dari pelbagai sekolah adalah unik dan inklusif. Kami bimbang pelajar sederhana AYTK akan kehilangan akses kepada kemudahan asrama jika digantikan sepenuhnya,” menurut PAPAYTK.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak alumni mencadangkan agar modul Imtiaz diperluas dan diterapkan di AYTK sedia ada sebagai langkah memperkasakan institusi tanpa perlu menutupnya.

Mengenai isu peruntukan khas, PAPAYTK turut mencadangkan beberapa alternatif termasuk penstrukturan semula keutamaan perbelanjaan, kerjasama pembiayaan dengan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan alumni melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau tajaan, serta memposisikan AYTK sebagai model pelengkap kepada Imtiaz.

Persatuan itu juga menyifatkan makluman penutupan dalam tempoh enam bulan kepada ibu bapa melalui aplikasi mudah alih WhatsApp pada 8 Disember 2025 sebagai tidak menyeluruh dan terlalu singkat.

Justeru PAPAYTK menggesa agar sesi libat urus bersemuka bersama ibu bapa, pelajar dan alumni diadakan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Bantahan ini berasaskan prinsip kebajikan pelajar B40 dan masa depan pendidikan, serta bukan agenda politik mana-mana pihak.

“Kami memohon agar keputusan penutupan ditangguhkan, model operasi AYTK dikaji semula, dan akses pendidikan berasrama berkualiti serta berbayar rendah terus dikekalkan untuk pelajar kurang berkemampuan,” katanya.

Sebelum ini, Yayasan Terengganu (YT) dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa AYTK tidak ditutup atau dihapuskan, sebaliknya memberi laluan kepada pembinaan sebuah Sekolah Imtiaz baharu bagi menampung permintaan kemasukan yang mencecah lebih 5,000 pelajar setiap tahun.

Pengarahnya, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, naratif yang mendakwa kawasan AYTK ditutup dan menzalimi pelajar adalah fitnah tidak berasas, sedangkan realitinya ialah YT sedang memperluas peluang pendidikan berteraskan al-Quran di negeri ini.

Jelas beliau, penempatan pelajar sedia ada kekal terjamin, malah ibu bapa telah dimaklumkan melalui sesi libat urus rasmi bersama pihak sekolah, YT, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).