Keutamaan Persekutuan kena sesuaikan realiti input negeri - Anwar

Iklan
Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen Kempas Baru, Johor pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganggap keutamaan atau 'selera' di Putrajaya bersesuaian untuk kerajaan negeri, khususnya Johor yang mempunyai kekuatan dan dinamika ekonominya sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam perancangan pembangunan, kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan berbeza dengan pimpinan pusat turun ke setiap negeri untuk mendengar pandangan, cadangan dan maklum balas daripada pihak negeri.

Iklan
Iklan

"Keutamaan yang ditentukan di Putrajaya tidak semestinya selari dengan keutamaan Johor yang merupakan negeri lebih kuat dari segi ekonomi.

"Oleh itu, pandangan Persekutuan akan disesuaikan berdasarkan input negeri. Dalam praktik dan teori demokrasi, proses ini penting kerana tiada pihak sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan boleh membuat keputusan menyeluruh tanpa mendengar pandangan dan mencapai muafakat bersama rakyat," ujarnya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen Kempas Baru di sini.

Hadir menyempurnakan majlis Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Iklan

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pembangunan negara tidak lagi berpaksikan kepada andaian pusat semata-mata, sebaliknya disesuaikan dengan realiti di setiap negeri termasuk Johor.

"Johor terus menunjukkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan dengan anggaran nilai pelaburan yang berpotensi melepasi RM100 bilion, perkembangan yang disifatkan sebagai rekod baharu untuk negeri itu.

"Pencapaian ini membuktikan keyakinan pelabur asing dan tempatan terhadap kestabilan ekonomi negara serta hala tuju pembangunan yang lebih tersusun di bawah Kerajaan Madani," katanya.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan kerjasama rapat Malaysia–Singapura melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) akan terus diperkukuh bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.

"Hubungan ekonomi kedua-dua negara kini berada pada tahap terbaik dan Johor bakal menerima limpahan pelaburan besar terutama dalam sektor teknologi, logistik, pembuatan pintar dan tenaga baharu.

“Pendekatan Ekonomi Madani menuntut pembangunan yang bukan hanya besar dan gah, tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat di semua peringkat,” katanya.