KUANTAN- Pahang merekodkan 43,972 pesakit mental dalam tempoh lima tahun bermula 2020 hingga 2024 lalu.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, daripada jumlah itu, 3,076 kes baharu manakala 40,896 kes ulangan.
Menurutnya, Kuantan merekodkan kes pesakit mental tertinggi dengan 20,138 pesakit terdiri 1,214 kes baharu dan 18,924 kes ulangan diikuti Temerloh, 8,376 kes, Bentong (5,488 kes ), Lipis (3,063 kes) dan Pekan (2,263 kes).
"Manakala Rompin (727 kes), Muadzam Shah (603 kes), Jerantut (804 kes), Bera (644 kes), Jengka dan Maran (684 kes), Raub (579 kes) dan Cameron Highlands (403 kes)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Hassanuddin Salim sempena Sidang Dewan Negeri Ke-15, Penggal Ke-4 di Wisma Sri Pahang, di sini pada Khamis.
Razali berkata, sehingga Mei tahun ini, 34,727 individu di seluruh negeri telah disaring, 541 daripadanya telah dirujuk untuk intervensi lanjut dan 70 orang disahkan mempunyai penyakit mental.
Jelasnya, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dapatan saringan, antara punca masalah kesihatan dan penyakit mental termasuk tekanan hidup dan ekonomi seperti peningkatan kos sara hidup yang meningkat, pengangguran serta hutang isi rumah.
"Masalah keluarga dan hubungan sosial seperti konflik rumah tangga, penceraian, kekurangan sokongan emosi turut menyumbang kepada isu ini.
"Pada masa sama, penyakit mental turut disumbang masalah kesihatan kronik dan bencana, beban penyakit tidak berjangkit (NCD), kesan pasca Covid-19, banjir dan kehilangan harta benda," katanya.
Tambahnya, faktor persekitaran dan sosial seperti stigma masyarakat dan keterasingan sosial juga menyumbang kepada masalah tersebut.
"Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melaksanakan pelbagai inisiatif komprehensif bagi memperkukuh kesihatan mental rakyat, termasuk pengukuhan saringan dan promosi kesihatan mental.
"Pelaksanaan saringan awal melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan MyMinda di fasiliti kesihatan primer turut dijalankan di samping program outreach ke sekolah, tempat kerja dan komuniti.
"Langkah itu disokong kempen seperti Let's Talk Minda Sihat dan World Mental Health Day bagi mengesan risiko tekanan, keresahan dan kemurungan secara awal," ujarnya.
Jelasnya, seramai 26 pegawai psikologi kaunseling ditempatkan di klinik kesihatan di semua daerah dan peluasan perkhidmatan psikiatri secara lawatan di 12 hospital negeri.
"Selain itu, Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (HEAL) 15555 selama 24 jam disediakan sebagai talian sokongan krisis yang memberi khidmat nasihat, intervensi awal dan rujukan profesional kepada individu yang memerlukan," katanya.