SAYA pernah menerima satu nasihat daripada seorang jurutera senior ketika bekerja di 'power plant' dahulu.
Bunyi nasihat itu sangat sederhana tetapi apabila saya renungkan hari ini, rupanya itulah antara 'vaksin' paling awal untuk mencegah rasuah.
Dia kata: “Jangan beri peluang untuk kita terhutang budi dengan sesiapa terutama vendor atau pembekal'.
Waktu itu saya angguk sahaja, masih muda, baru masuk industri dan beranggapan integriti itu perkara besar. Kita bayang rasuah itu datang dalam bentuk kontrak berjuta-juta, perbincangan tertutup atau pegawai berpangkat besar.
Tapi, apabila kita hidup dan kerja semakin lama, baru kita nampak rasuah jarang datang dalam bentuk besar. Ia selalunya bermula dengan kecil, dengan sesuatu yang tidak akan kita syak pun.
Nasihat senior saya itu datang dengan contoh-contoh yang dekat dengan hidup.
Kalau vendor ajak keluar minum, tolak dengan baik. Kalau terpaksa ikut, cepat-cepat bayar sendiri. Kalau tidak sempat, terus belanja satu meja. Biar jelas: aku datang kerja, bukan hendak jadi kawan rapat sesiapa.
Kalau mereka hantar hamper, jangan ambil seorang diri. Suruh mereka hantar ke bengkel. Biar semua orang rasa, semua orang makan.
Apabila kita kongsi, kita tidak izinkan wujudnya 'keistimewaan peribadi' yang akan buat kita serba salah nanti.
Kalau ada yang hulur baucar, tiket, hadiah kecil - senyum, ucap terima kasih dan tolak. Alasan paling mudah: “Saya cuma buat kerja saya, tak perlu balasan.”
Kadang-kadang kita risau orang terasa tetapi orang yang menghormati profesion kita akan faham pendirian itu. Semua contoh tersebut nampak remeh tapi di sinilah bermulanya penyakit yang kita semua takut hendak sebut iaitu rasuah.
Ini bukan kerana kita jahat. Ini bukan kerana kita tamak tetapi ini kerana kita terhutang budi. Dan rasa terhutang budi itu lebih bahaya daripada tawaran duit yang jelas.
Sebab, ia masuk dalam hati. Ia buat kita dilema. Ia buat kita rasa tidak boleh menolak. Ia buat kita rasa 'alah, dia pernah tolong aku...'
Rasuah tidak selalu datang dengan sampul tebal. Ia selalu bermula dengan minum petang. Adakala dengan hamper hujung tahun. Adakala dengan sedikit-sedikit 'gesture' yang tidak salah pada zahirnya.
Sebab itu, prinsip yang saya belajar dahulu menjadi pegangan sehingga hari ini iaitu jangan beri peluang untuk terhutang budi. Apabila tidak terikat, kita lebih bebas bekerja.
Apabila tidak terhutang, kita lebih mudah berkata tidak. Apabila tidak terpengaruh, keputusan kita lebih jujur.
Bak kata mentor saya juga: “Tak luak pun hensem kita apabila kita buat benda betul.”
Integriti bukan hanya tentang menolak rasuah besar. Ia tentang mengawal pintu kecil sebelum ia terbuka luas. Ia tentang menjaga hati sendiri daripada rasa terhutang.
Ia tentang tahu batas dan berani menegakkan batas itu.
Kalau semua orang pegang prinsip kecil ini, kita mungkin tidak dapat hapuskan semua rasuah di Malaysia.
Tapi kita akan matikan banyak pintu yang sepatutnya tidak pernah terbuka sejak awal. Kadang-kadang untuk elak keburukan besar, kita cuma perlu jaga satu perkara iaitu jangan berhutang budi.
* Qayyim Hafidz ialah ahli IKRAM dan bekas Jurutera Kanan (Industri Tenaga)