PETALING JAYA – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) terus memperkukuh penglibatan pekebun kecil dalam sektor agromakanan apabila menghimpunkan 220 usahawan tani dari seluruh negara menerusi Seminar Agropreneur RISDA 2025 berlangsung dari 8 hingga 10 Disember di sini.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, program itu menjadi platform penting dalam meningkatkan kemahiran peserta serta membuka akses kepada teknologi moden dan peluang pemasa- ran yang lebih luas, selaras komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memajukan ekonomi desa.
Beliau berkata, sejak pelaksanaan Program Agromakanan pada 2020, RISDA telah melaksanakan 4,381 projek melibatkan 7,069 usahawan tani, dengan jualan keseluruhan RM153 juta.
“Purata pendapatan peserta melalui program agromakanan sahaja kini mencecah RM639 sebulan, iaitu 128 peratus melebihi KPI RM500, bukti keberkesanan inisiatif tersebut dalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Agropreneur RISDA 2025 di sebuah hotel di sini.
Hadir sama, Pengerusi RISDA Bina Sdn Bhd, Datuk Muamar Ghadafi Jamal Jamaluddin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Md Najib Ishak dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) RISDA, Wan Mohd Hafiz Wan Ibrahim.
Dalam majlis sama, RISDA turut menyampaikan Anugerah Usahawan Tani Jaya mengikut empat bidang iaitu ternakan, tanaman dan akuakultur kepada tujuh penerima yang mengusahakan projek secara individu, berkumpulan atau integrator.
Manndzri turut mengumumkan bahawa mulai 2025, RISDA diberi mandat oleh KKDW untuk melaksanakan projek Mobile Teaching Factory Incubator (MTFI) bernilai RM1.5 juta, iaitu kilang pem belajaran bergerak yang memfokuskan pemprosesan herba, rempah dan buah buahan.
Jelasnya, melalui MTFI, peserta dapat mempelajari teknologi pengeringan dan pengekstrakan, disokong latihan TVET bergerak serta peluang pekerjaan baharu bagi membentuk usahawan desa yang lebih berdaya saing.
Seminar selama tiga hari itu me ngetengahkan sesi bimbingan teknikal, pendedahan kepada teknologi pemprosesan makanan, perkongsian kepakaran industri, pengukuhan jaringan perniagaan serta perbincangan peluang pemasaran yang lebih kompetitif sebagai usaha menyediakan ekosistem sokongan menyeluruh kepada usahawan tani pekebun kecil.
RISDA dan KKDW kekal komited memperkasa ekonomi luar bandar melalui pendekatan teknologi, pemasaran dan pembangunan sahsiah selaras Aspirasi Desa MADANI dalam membina ekosistem agromakanan berdaya saing.