Tiada pertindihan kuasa antara Ombudsman dengan SPRM -Azam Baki

Iklan

PUNCAK ALAM – Penubuhan Ombudsman Malaysia tidak akan bertindih dengan kuasa dan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaliknya bertujuan memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan jabatan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bidang tugas utama SPRM melibatkan kerja penyiasatan dan operasi, selain melaksanakan program pendidikan serta advokasi kepada masyarakat berkaitan integriti dan tatakelola.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penubuhan agensi baharu itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja-Kerajaan Tertinggi Negara (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri baru-baru ini, dan melibatkan pelbagai jabatan termasuk SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain.

“SPRM merupakan antara agensi yang akan berada di bawah bidang pemantauan Ombudsman Malaysia, selain jabatan dan agensi lain seperti PDRM. Perincian lanjut mengenai bidang tugas akan dimaklumkan kemudian.

Iklan

“Ombudsman Malaysia akan memfokuskan kepada isu tadbir urus dan tatakelola. Kerajaan juga sebelum ini menyatakan bahawa tidak akan berlaku sebarang pertindihan kuasa, dan saya turut memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku,” katanya ketika ditemui dalam program SPRM - UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam, pada Rabu.

Azam berkata, SPRM akan memberi kerjasama penuh dalam penyediaan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun hadapan.

Iklan

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat untuk mengurus dan menyelesaikan aduan awam.

Menurut beliau, Ombudsman Malaysia diberikan mandat meliputi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat serta kebebasan maklumat.

Persetujuan penting itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang turut dipengerusikan beliau.

Penubuhan agensi berkenaan juga menzahirkan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam.