PUNCAK ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa mana-mana pihak yang mendakwa terpaksa memberikan 'wang perlindungan' kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan di Pasar Borong Selayang baru-baru ini tampil menyalurkan maklumat rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, isu dakwaan peniaga memberi wang kepada agensi penguat kuasa bukan perkara baharu, namun tuduhan yang hanya dibuat melalui media dan media sosial tanpa laporan rasmi tidak akan menyelesaikan masalah.
"Ini perkara baharu yang timbul dalam media, tetapi pada saya ia isu lama tentang peniaga yang mendakwa memberi wang kepada agensi penguat kuasa. Saya berharap mereka yang mendakwa ini datanglah kepada SPRM.
"Kita sudah ada undang-undang dan mereka juga tertakluk kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan perkara ini telah kita hebahkan berulang kali," katanya ketika ditemui dalam program SPRM - UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam di sini pada Rabu.
Azam berkata, dakwaan yang hanya dibuat secara umum juga adalah tidak adil kepada agensi penguat kuasa yang dituduh tanpa bukti kukuh.
"Kalau mereka setakat bercakap dengan media atau media sosial, perkara ini tidak akan selesai.
"Bila menuduh agensi penguat kuasa secara umum, pada saya itu tidak adil," katanya.
Menurutnya, SPRM juga perlu berlaku adil kepada semua pihak termasuk individu atau agensi yang ditohmah menerima rasuah serta pihak yang didakwa memberi.
"Isu sebenarnya, kita juga nampak ada peniaga yang menjalankan perniagaan tidak mengikut proses dan tidak mengikut undang-undang, malah ada yang menjalankan perniagaan secara haram dengan pelbagai kesalahan.
"SPRM tidak akan membuka kertas siasatan tanpa menerima maklumat yang benar dan tepat daripada pengadu. Kami tidak akan jalankan terus penyiasatan ini kalau tidak ada maklumat yang benar dan tepat sampai kepada kami, kita kena berlaku adil," katanya.
Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial bahawa peniaga di Pasar Borong Selayang terpaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan dijalankan baru-baru ini.