KUANTAN – Kutipan cukai tanah bernilai lebih RM403.7 juta setakat November tahun ini menjadikan ia penyumbang terbesar kepada hasil negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kutipan itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan hasil negeri yang mencecah kira-kira RM762.9 juta bagi tempoh sama.
“Cukai tanah terus menjadi tonggak pendapatan negeri dan pada tahun 2022, kutipan cukai tanah ialah RM383.9 juta atau 29.87 peratus daripada jumlah hasil keseluruhan.
"Tahun 2023, sebanyak RM384.86 juta (29.23 peratus), seterusnya 2024 meningkat kepada RM396.67 juta (32.48 peratus) manakala setakat November tahun ini mencapai 38.15 peratus daripada keseluruhan hasil,” katanya.
"Tahun 2023, sebanyak RM381.8 juta (29.23 peratus), seterusnya 2024 meningkat kepada 32.49 peratus (RM396.6juta) manakala November tahun ini mencapai 38.15 peratus daripada keseluruhan hasil,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Andansura Rabu (Pas- Beserah) mengenai lima sumber hasil terbesar negeri dan jumlah kutipan serta peratus sumbangan kepada hasil keseluruhan.
Andansura juga ingin mengetahui jumlah tunggakan pada hujung tahun bagi setiap sumber dan berapa hasil tudak berulang dalam tempoh tersebut.
Selain cukai tanah, Wan Rosdy memberitahu, hasil negeri lain termasuk royalti, lesen, bayaran pendaftaran dan permit, perolehan jualan barang, serta geran daripada Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, royalti setakat November 2025 mencatat RM81.2 juta atau 7.66 peratus manakala kutipan daripada lesen, bayaran pendaftaran dan permit adalah RM66.6 juta.
“Perolehan jualan barang mencatat RM130.4 juta (12.32 peratus) dan geran daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM81.1 juta (7.66 peratus) setakat November.
"Semua ini menyumbang kepada jumlah keseluruhan kutipan hasil negeri yang stabil,” tambah beliau.
Wan Rosdy berkata, cukai tanah adalah satu-satunya komponen hasil yang masih merekodkan tunggakan setiap tahun, dengan jumlah RM483.4 juta (2022), RM525.4 juta (2023), RM635.9 juta (2024) dan RM376.1 juta setakat Oktober 2025.
Beliau turut memaklumkan, tunggakan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM1.1 bilion, tetapi selepas pelaksanaan strategi pengurusan hasil, jumlah tunggakan menurun kepada RM483 juta pada 2022.
Jelasnya, ia diikuti RM552 juta pada 2023, dan RM635 juta pada 2024, sebelum mencatat RM376 juta setakat Oktober ini.
“Dan insya-ALLAH pada tahun hadapan kita fokus kepada usaha untuk mengutip tunggakan dan saya percaya usaha-usaha akan lebih kita giatkan untuk tahun akan datang.
“Dan usaha untuk mengutip tunggakan ini bukanlah satu perkara yang mudah tetapi walau bagaimanapun saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah juga kepada pihak PTG (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang) kerana mampu mengurangkan daripada RM1.1 bilion kepada lebih kurang 50 peratus tunggakan dan usaha ini akan diteruskan di masa akan datang,” katanya.
Menjawab soalan mengenai hasil tidak berulang, Wan Rosdy berkata, hasil yang melibatkan kutipan premium, denda premium dan fi pengurangan premium secara one-off dicatatkan sebanyak RM101.6 juta pada 2022.
"Sebanyak RM164.9 juta pada 2023, dan RM117.2 juta pada 2024, manakala tiada kutipan one-off direkodkan bagi tahun 2025.
“Ini pertama kalinya dalam tempoh empat tahun kita tidak merekodkan hasil one-off, tetapi kita masih berjaya mencatat kutipan melebihi RM1 bilion dan ini jelas menunjukkan bahawa kutipan hasil negeri semakin stabil dan konsisten,” ujarnya.