Ombudsman Malaysia perlu akses penuh dokumen awam untuk siasatan telus - Rasuah Busters

Iklan
Nurhayati

SHAH ALAM – Ombudsman Malaysia perlu diberikan akses kepada dokumen awam dan maklumat relevan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan bebas.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia-Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, siasatan oleh Ombudsman Malaysia seharusnya bebas daripada sebarang sekatan yang tidak wajar, kecuali dalam hal melibatkan keselamatan negara.

Iklan
Iklan

“Salah satu elemen penting dalam memastikan keberkesanan Ombudsman Malaysia ialah pemberian akses penuh kepada maklumat.

“Akses ini mestilah seimbang dan mengikut peraturan, dengan mengambil kira kerahsiaan tertentu serta mematuhi prinsip keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat bagi mengurus dan menyelesaikan aduan awam. Agensi itu diberi mandat lebih menyeluruh merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.

Menurut Anwar, perkara tersebut merupakan antara keputusan penting yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 yang beliau pengerusikan di Putrajaya pada Isnin.

Iklan

Beliau menegaskan bahawa penubuhan Ombudsman Malaysia menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh hak rakyat dan memelihara integriti sektor awam, dengan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia dijangka dibentangkan pada awal tahun 2026.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, walaupun penubuhan Ombudsman Malaysia merupakan langkah yang positif, kerajaan juga perlu memastikan rakyat memahami fungsi dan kepentingan institusi tersebut.

“Advokasi dan kesedaran awam mengenai peranan Ombudsman Malaysia perlu dilakukan secara lebih agresif.

“Rakyat perlu diberikan maklumat tentang bagaimana mereka boleh membuat aduan, serta bagaimana aduan tersebut akan diproses dan disiasat.

“Jika rakyat faham bagaimana Ombudsman Malaysia berfungsi dan bagaimana ia boleh membantu menyelesaikan masalah mereka, maka sokongan terhadap institusi ini akan lebih kukuh,” ujarnya.

Menurut beliau, laporan yang dikemukakan oleh rakyat perlu diberi perhatian dan dipantau secara berterusan agar sistem pentadbiran yang lebih adil dapat diwujudkan.

Tambahnya, penubuhan Ombudsman Malaysia merupakan langkah yang amat positif dan dinanti-nantikan rakyat Malaysia kerana mampu membawa perubahan besar dalam memperkukuh sistem pentadbiran negara.

“Rasuah Busters menyambut baik komitmen kerajaan. Ia merupakan elemen penting untuk memperbaiki tadbir urus negara berteraskan amanah.

“Ombudsman Malaysia sangat dinantikan rakyat yang mengharapkan satu sistem penyampaian awam yang lebih telus, bebas dan berintegriti.

“Dengan adanya Ombudsman Malaysia yang berfungsi dengan baik, saya percaya rakyat akan lebih yakin untuk melaporkan sebarang salah laku atau ketidakpuasan hati, tanpa rasa takut atau tekanan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa institusi itu hanya akan berjaya sekiranya asas operasinya kukuh dan dilaksanakan berdasarkan acuan serta keperluan Malaysia.

“Banyak negara telah lama melaksanakan sistem ombudsman. Malaysia baru memulakan langkah ini.

“Oleh itu, pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan konteks negara kita – bukan hanya meniru model luar. Cabaran kita unik dan perlu diurus secara realistik,” katanya.

Nurhayati turut mengingatkan bahawa pelantikan Ombudsman Malaysia mesti berasaskan merit tanpa pengaruh politik dan bebas daripada campur tangan eksekutif.

“Sebarang keputusan berkaitan pelantikan atau penamatan jawatan Ombudsman mestilah mengikut undang-undang dan proses yang sah, bukan berdasarkan kepentingan pihak tertentu,” tegasnya.

Beliau berkata, Ombudsman Malaysia berperanan penting dalam mewujudkan budaya pentadbiran yang lebih sihat dan berintegriti, terutama dalam menangani isu rasuah, salah guna kuasa dan kelemahan pentadbiran.

“Antara fungsi utama Ombudsman ialah mengenal pasti dan menyelesaikan isu berkaitan salah laku, termasuk masalah pengisytiharan kontrak, konflik kepentingan, serta ketidakjelasan larangan penerimaan hadiah.

“Ombudsman Malaysia perlu diberikan kuasa penuh untuk menyiasat dan menilai isu-isu ini secara telus, tanpa sebarang sekatan yang tidak munasabah,” katanya.