LUMUT – Nasib peniaga kecil yang terjejas akibat fenomena hakisan pantai Teluk Batik yang disiarkan Sinar Harian terus mendapat perhatian apabila Mercy Malaysia bersama Rumah Ngaji Teluk Muroh tampil menyalurkan bantuan makanan asas kepada mereka baru-baru ini.
Penyerahan bantuan itu diadakan menerusi satu majlis ringkas di Rumah Ngaji Teluk Muroh yang turut disertai peniaga-peniaga terlibat serta komuniti setempat.
Bagi peniaga, Syuaibattul Rabiatul Addawiyah Jaafar Sidek, 29, bencana hakisan yang melanda menambah lagi kesukaran mereka yang baru sahaja pulih selepas pantai tersebut lengang akibat tular kisah kehadiran buaya di pantai berkenaan beberapa bulan lalu.
"Memang sangat terkesan, terutama kami peniaga di Teluk Batik. Kami baru nak baik pulih daripada isu buaya sebelum ini, kini diuji pula dengan bencana alam. Pengunjung pun takut nak datang dan mandi, jadi pendapatan kami merosot.
"Kami berharap orang ramai terus datang ke Teluk Batik kerana di sinilah sumber rezeki kami,” katanya.
Syuaibattul Rabiatul Addawiyah dalam pada itu meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima kerana dapat meringankan beban peniaga yang terjejas.
Seorang lagi penerima, Syahirah Zainal, 41, mengakui pendapatannya sebagai peniaga merosot teruk apabila kawasan pantai tidak lagi menjadi tumpuan pengunjung.
"Saya amat terkesan kerana tiada pengunjung yang dapat beriadah seperti biasa. Bantuan kotak makanan daripada Mercy Malaysia ini sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan harian.
Sementara itu, Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Maziah Rafie berkata, program itu adalah hasil kerjasama Mercy Malaysia Perak, Rumah Ngaji dan COMBI MyChampion Teluk Muroh bagi menyantuni peniaga yang memerlukan.
Menurutnya, sebaik sahaja kisah peniaga tersebut disiarkan, inisiatif diambil dengan mengemukakan permohonan kepada pelbagai pihak untuk mendapatkan sumbangan membantu mereka yang terkesan.
"Objektifnya untuk menyampaikan bantuan kepada peniaga-peniaga yang terkesan. Rumah Ngaji bukan sekadar tempat belajar al-Quran, tetapi platform komuniti yang membawa nilai kasih sayang, kebajikan dan perpaduan.
"Alhamdulillah, sambutan sangat positif. Ramai yang hadir, terharu dan rasa dihargai. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Maziah turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang giat membaik pulih pantai Teluk Batik setiap hari bagi memastikan kawasan itu kembali menjadi tumpuan pelancong.
Sementara itu, Exco Mercy Malaysia, Dr Dzulkarnaen Ismail berkata, sebanyak 35 pek makanan diagihkan kepada peniaga yang terjejas.
Katanya, pemberian sumbangan tersebut hasil dana sumbangan orang ramai memandangkan kebanyakan mereka terkesan terdiri daripada ibu tunggal yang bergantung kepada pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia untuk menjalankan perniagaan
Dr Dzulkarnaen berkata, pihaknya akan terus menilai keperluan komuniti terkesan dari semasa ke semasa, selari dengan misi kemanusiaan Mercy Malaysia.
Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan peniaga dan penduduk di sekitar merasai kesuraman pantai Teluk Batik itu setelah lebih seminggu kejadian hakisan pantai berkenaan akibat hentaman ombak kuat.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan tersebut mendapati kehadiran pelancong amat berkurangan selepas Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menasihati orang ramai agar tidak mengunjungi pantai tersebut atas faktor keselamatan pada 25 November lalu.