Inisiatif pengasingan kuasa peguam negara, pendakwa raya memasuki fasa kedua

Iklan
Azalina ketika mempengerusikan mesyuarat inisiatif pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

PUTRAJAYA – Inisiatif pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini memasuki fasa kedua pelaksanaan, selaras dengan persetujuan Jemaah Menteri terhadap model pengasingan penuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, fasa berkenaan memberi tumpuan kepada pemuktamadan struktur institusi, penelitian keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan undang-undang berkaitan serta penggubalan undang-undang baharu bagi memastikan pelaksanaan agenda reformasi ini berjalan secara menyeluruh dan berkesan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, model pengasingan penuh peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah diperincikan dalam Laporan Akhir Kajian Komparatif yang telah diserahkan kepada Pasukan Petugas Khas Teknikal, diketuai oleh Timbalannya, M. Kulasegaran.

“Laporan tersebut merumuskan hasil kajian komprehensif yang merangkumi perbandingan amalan terbaik antarabangsa serta pandangan lebih 7,000 responden melalui beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus, soal selidik dan temu ramah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Iklan

Antara yang turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat, William Leong Jee Keen; Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Semakan Undang-Undang Dewan Negara, Rita Patrick Insol; Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh; dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Turut serta, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman; Peguam Cara II Negara, Datuk Seri Umar Saifuddin Jaafar; Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ezri Wahab; serta beberapa pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.

Iklan

Pada September lalu, kerajaan telah bersetuju secara dasar untuk mengasingkan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Bagi tujuan tersebut, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan – khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 – akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.

Selain itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.

Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan, sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].