Kerajaan baik pulih 99 cerun berisiko, elak tragedi berulang

Iklan
Alexander( tiga dari kanan) menyaksikan simbolik Penyerahan Pembaikan Cerun di laluan Very High Frequençy MHE) Telapak Buruk pada Rabu.

JELEBU – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan kerja-kerja membaik pulih cerun di 99 lokasi di seluruh negara dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM77.3 juta.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah tersebut, 90 projek merupakan sambungan dari tahun lalu melibatkan kos RM59.7 juta, satu projek diberi keutamaan dengan peruntukan RM1 juta, manakala lapan projek lagi mendapat kelulusan kerja khas bernilai RM16.6 juta.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, keutamaan semestinya diberikan kepada lokasi yang berada pada tahap kritikal, khususnya kawasan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya serta mengganggu perhubungan.

“Lokasi cerun berisiko tinggi sentiasa bertambah. Oleh itu, agihan peruntukan dibuat berdasarkan tahap kritikal sesuatu kawasan.

Iklan

“Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah cerun ini, namun kebanyakannya berpunca daripada faktor cuaca seperti hujan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun Very High Frequency (VHF) Telapak Buruk di Dataran Bukit Tangga pada Rabu.

Berhubung penyerahan projek pembaikan cerun di Telapak Buruk, beliau berkata projek tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memastikan stesen pemancar Telapak Buruk dapat beroperasi tanpa gangguan.

Iklan

Tambahnya, projek itu bermula pada 24 Februari 2022 dan siap sepenuhnya pada 14 Oktober 2025 dengan melibatkan kos RM109 juta.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat aduan melibatkan rasuah atau salah guna kuasa dalam kementerian berkenaan.

Alexander berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan beberapa kementerian kini berada dalam radar agensi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kementerian-kementerian tersebut, namun memaklumkan bahawa kementerian terbabit dikesan mempunyai isu berkaitan perolehan.