ALOR SETAR – Keratan akhbar Sinar Harian yang tersimpan kemas di tangan seorang warga emas menjadi penghubung emosi antara dua bekas anggota tentera yang tidak pernah bersua sebelum ini.
Pertemuan penuh makna itu melibatkan veteran komando Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sarjan (B) Rosli Mustafa dengan seorang lagi bekas tentera, Abu Bakar Saat, 74, di Kampung Mergong Hilir, di sini.
Keratan akhbar berkenaan ialah laporan temu bual Sinar Harian bertajuk ‘Dari anggota pancaragam menjadi seorang komando’ yang memaparkan perjalanan hidup Rosli sebagai anggota Paskau dan disiarkan pada 7 Disember tahun lalu.
Artikel itu mengisahkan penglibatan Rosli dalam beberapa misi besar termasuk rundingan membawa pulang kotak hitam pesawat MH17, penugasan bersama Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan serta berdepan ancaman lanun Somalia.
Menurut Rosli, 42, beliau dimaklumkan bahawa keratan akhbar tersebut disimpan oleh Abu Bakar kerana mengingatkannya kepada arwah isterinya yang meninggal dunia pada Jun 2022.
“Arwah isteri beliau berasal dari Bukit Jenun (Pendang), sama seperti tempat kelahiran saya. Setiap kali membaca keratan akhbar ini, beliau teringatkan arwah isterinya,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Rosli, Abu Bakar yang kini uzur dan banyak menghabiskan masa di dalam bilik akibat masalah kesihatan menjadikan membaca Sinar Harian sebagai rutin hariannya.
“Bila beliau baca kisah saya, ia bukan sekadar berita, tetapi menjadi peneman rindu kepada insan yang telah pergi. Itu yang membuatkan saya benar-benar tersentuh,” katanya.
Rosli turut menyifatkan pertemuan tersebut sangat menyentuh perasaan apabila melihat wajah Abu Bakar yang ceria meskipun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Saya sendiri tak sangka keratan akhbar tentang diri saya memberi makna sebesar itu kepada beliau. Saat saya hadir, saya lihat kegembiraan di wajahnya dan itu sangat mengharukan,” katanya.
Menurutnya, perkongsian kisah itu bukan untuk meraih perhatian, sebaliknya sebagai tanda penghargaan kepada semua veteran dan bekas tentera yang pernah berkorban demi negara.
“Ini pertemuan dari hati ke hati. Saya cuma mahu memberi sedikit kegembiraan dan semangat kepada beliau.
“Jasa veteran tentera tak pernah hilang walaupun setitik. Kita semua tetap keluarga,” katanya.