ADUN cadang beberapa inisiatif kembalikan tarikan Tasik Chini

Iklan
Mohd Sharim ketika sesi perbahasan pada Persidangan DUN di Wisma Sri Pahang pada Selasa.

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain mencadangkan beberapa inisiatif bagi mengembalikan tarikan Tasik Chini sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Pahang.

Beliau berkata, Tasik Chini merupakan khazanah alam semula jadi yang menjadi destinasi pelancongan berasaskan alam, selain merupakan salah satu daripada tiga kawasan Rizab Biosfera UNESCO di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Melalui usaha Perbadanan Taman Negeri dan Tourism Pahang, kita dapat membantu mengembalikan daya tarikan Tasik Chini kepada pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.

Tambah beliau, antara cadangan yang dikemukakan termasuklah pembinaan menara tinjau, laluan pejalan kaki atau trek untuk aktiviti trekking, galeri warisan Tasik Chini, pusat interpretasi alam serta eko-resort bertaraf antarabangsa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Sharim turut menegaskan sokongannya terhadap usaha kerajaan negeri yang sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar.

Iklan

Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri memberi perhatian khusus kepada beberapa aspek penting dalam usaha memacu pembangunan komuniti luar bandar.

Jelasnya, aspek pertama ialah peningkatan capaian internet dan liputan telekomunikasi di kawasan kampung tradisi bagi merangsang ekonomi digital luar bandar.

"Kedua, program baik pulih rumah uzur, khususnya untuk warga emas dan ibu tunggal; dan ketiga, geran mikro usahawan desa bagi membantu pengusaha kecil memasarkan produk kampung ke pasaran digital.

"Seterusnya, program digitalisasi usahawan desa, ekonomi digital desa serta platform jualan digital bagi produk kampung ini akan membuka peluang pendapatan baharu kepada penduduk kampung," katanya.