KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan supaya pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) dilaksanakan dengan mengutamakan aspek kualiti.
Titah Baginda, pembinaannya tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana kediaman berkenaan merupakan tempat perlindungan dan ‘syurga’ bagi keluarga penerimanya.
Baginda bertitah, projek dijangka melibatkan pembinaan 790 unit rumah di negeri ini bertujuan menyediakan kediaman selesa kepada rakyat Pahang.
“Saya harap cuba percepatkan, dan saya harap dalam soal pembinaan untuk rumah ini, walaupun harga itu nampak murah, janganlah beri hasil pembinaan ini secara sambil lewa sahaja. Saya nak ada kualiti sikitlah.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Ru’RASA Fasa 2 Daerah Kuantan dan Jerantut di pekarangan tapak Rumah Ru’RASA, Tanjung Lumpur, di sini pada Isnin.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tungku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada majlis itu, seramai 11 penerima menerima kunci rumah masing-masing, membabitkan enam penerima dari daerah Kuantan dan lima penerima dari daerah Jerantut.
Sementara itu, Baginda juga mengingatkan semua penerima Rumah Ru'RASA agar tidak sesekali menjual atau menyewakan rumah berkenaan kepada pihak lain.
Tegas Baginda, rumah yang dikurniakan itu tidak boleh dijual atau disewakan kerana ia disediakan khusus untuk manfaat penerima dan keluarga mereka.
“Janganlah fikir nak menjual atau nak sewa. Sewa pun saya tak bagi. Ini khas untuk awak semua. Kalau Allah dah panggil kita (meninggal dunia), turun (diwarisi) ke anak cucu pula.
“Tak boleh dijual atau disewa,” tegas Baginda.
Dalam titahnya, Baginda turut mengesyorkan supaya satu kajian dibuat bagi mewujudkan skim insurans secara berkelompok kepada semua penghuni Rumah Ru’RASA bagi melindungi kediaman mereka daripada risiko seperti kebakaran dan kejadian tidak diingini.
“Saya nak nyatakan kalau boleh, semua penghuni-penghuni rumah Rumah Ru’RASA ini, kalau boleh buat satu insurans berkelompok.
“Supaya mereka (penerima) ini dan rumah-rumah ini dilindungi daripada kebakaran atau sebagainya. Kita kaji daripada situ, dari segi insurans supaya penghuni ini merasa lebih selesa,” titah Baginda.
Paduka Baginda turut menitahkan supaya bantuan dan peruntukan tambahan bersesuaian turut dikaji bagi membantu keluarga penerima sekiranya diperlukan.