KUANTAN – Gambar dan rakaman video seekor ikan disyaki red-bellied piranha (pygocentrus nattereri) yang didakwa ditangkap di Empangan Klau, Raub 26 Ogos lalu disahkan memiliki ciri-ciri morfologi konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain bagaimanapun berkata, ia berdasarkan hasil penilaian teknikal oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun menurutnya, pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies tidak dapat dibuat kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut kerana ikan tersebut dilaporkan mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan.
"Setakat ini hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap di kawasan tersebut.
"Siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September lalu juga tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan di kawasan berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, Jabatan Perikanan Pahang menyiasat dakwaan berhubung ikan piranha perut merah atau nama saintifiknya, pygocentrus nattereri yang didaratkan seorang pemancing di Empangan Klau, Raub sehingga mengundang kebimbangan orang ramai.
Susulan itu, rakaman video dan gambar ikan diserahkan kepada IPP bagi pengesahan identiti spesies terbabit.
Sementara itu Adnan berkata, berdasarkan data dan bukti yang diperoleh setakat ini, belum terdapat bukti menunjukkan kewujudan populasi piranha yang telah bertapak dan membiak di Empangan Klau.
Jelasnya, jabatan itu akan terus melaksanakan pemantauan bersasar bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu katanya, pelepasan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan serta kepelbagaian biologi akuatik.
"Pejabat Perikanan Negeri Pahang telah diarahkan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melepaskan semula mana-mana ikan yang disyaki sebagai spesies asing sekiranya ditangkap," katanya.
Tambah beliau, sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing, simpan spesimen tersebut jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian DNA jika diperlukan.
"Pihak jabatan akan meneruskan pemantauan lapangan secara berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya, termasuk merekodkan sebarang maklumat atau tangkapan berkaitan.
"Kesedaran awam mengenai risiko pelepasan spesies ikan asing atau invasif ke perairan umum akan dipertingkatkan serta menggalakkan kerjasama komuniti setempat dalam menyalurkan maklumat sekiranya terdapat penemuan atau tangkapan ikan yang disyaki sebagai spesies asing.
"Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi Jabatan Perikanan Malaysia dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta spekulasi," ujarnya.