KUANTAN - Kaunter bahagian kad pengenalan di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang di Indera Mahkota di sini antara yang menjadi tumpuan sempena hari pertama pengeluaran MyKad generasi baharu pada Khamis.
Tinjauan Sinar Harian dari jam 9 hingga 11 pagi bagaimanapun mendapati urusan di kaunter berkenaan berjalan seperti biasa, lancar dan tidak berlaku kesesakan pelanggan yang menunggu giliran sebagaimana jangkaan awalnya.
Proses permohonan MyKad di kaunter bermula jam 8.30 pagi di semua tujuh kaunter yang dibuka dengan dua pesara bersama isteri masing-masing menjadi yang terawal mengambil nombor giliran dan menerima MyKad generasi baharu di negeri ini.
Shafei Mamud, 67, dan isteri, Faridah Abu Hanifah, 64, dari Perumahan Balok Baru di sini menjadi pelanggan paling awal berurusan sejurus kaunter dibuka.
Pesara sebuah syarikat swasta itu berkata, mereka tiba seawal jam 8 pagi dan menjadi pelanggan terawal dengan nombor giliran 1001 dan 1002.
"Allhamdulillah, Urusan lancar tak sampai 10 minit namun yang paling membanggakan, kami menjadi orang terawal di negeri ini menerima MyKad baharu dan lebih manis lagi ia diserahkan sendiri Pengarah JPN Pahang, Mohammad Abdullah," katanya ketika ditemui di Pejabat JPN Pahang di sini pada Khamis.
Pasangan itu turut mengakui, MyKad generasi baharu itu membawa makna tersendiri bagi mereka selepas sehari meraikan sambutan Hari Malaysia.
MyKad generasi baharu mempunyai 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sebelum ini termasuk kod QR untuk tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, hologram keselamatan dinamik, ciri UV, turihan laser, teks mikro serta teknologi cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.
Dari segi fizikal, MyKad baharu menggunakan bahan polikarbonat berketahanan tinggi serta menampilkan corak keselamatan seperti Guilloche.
Kedudukan cip turut berubah ke bahagian belakang kad, manakala kod QR turut ditempatkan di bahagian belakang bagi menyokong proses pengesahan.
Bagi pesara polis, Ab Ghani Mahmud, 65, dan isteri Junaida Che Noh, 52, mengambil kesempatan hari terluang untuk menukar Mykad masing-masing selepas mendapat tahu urusan itu mula dibuka di kaunter JPN terpilih seluruh negara.
"Walaupun Mykad lama masih elok, kami ambil keputusan untuk tukar selepas mendapat tahu yang baharu ni lebih baik, berteknologi tinggi dan dilengkapi pelbagai ciri keselamatan.
"Urusan hari ini lancar dan Alhamdulillah, tidak lama menunggu pun. Urusan di kaunter sekejap sahaja cuma terpaksa menunggu sementara MyKad siap," katanya.
Sementara itu, Mohammad berkata, pemantauan dilakukan di kaunter bahagian kad pengenalan JPN Pahang urusannya berjalan seperti biasa tanpa peningkatan pelanggan yang drastik sempena hari pertama pengeluaran MyKad generasi baharu.
Menurutnya, situasi sama turut berlaku di kaunter JPN di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Pahang yang dibuka untuk urusan itu pada fasa pertama bermula hari ini.
"Boleh dikatakan kehadiran pelanggan hari ini sama seperti hari-hari biasa namun kami tetap bersedia dengan membuka semua kaunter bagi menghadapi kemungkinan.
"Kita jangkakan peningkatan pelanggan meningkat pada hari-hari berikutnya terutama di kaunter JPN UTC pada hujung minggu ini," katanya.