SPRM, Maritim Malaysia perkukuh kerjasama banteras rasuah di perairan

Iklan
Azam (tengah) menerima kunjungan hormat Maritim Malaysia pada Selasa. Foto: SPRM

PUTRAJAYA - Isu rasuah melibatkan nelayan asing yang menyogok agensi penguatkuasaan bagi mengelak tindakan di perairan negara diberi perhatian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui pengukuhan operasi bersama serta perkongsian maklumat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rasuah dalam penguatkuasaan perairan bukan sahaja mengakibatkan kerugian kepada negara, malah turut menjejaskan keselamatan dan kedaulatan maritim.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi bersama antara Maritim Malaysia dan SPRM akan dipertingkatkan bagi mengekang salah guna kuasa manakala usaha-usaha meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai agensi terbabit juga perlu dipergiatkan khususnya dalam bidang penguatkuasaan.

“Rasuah di perairan sering melibatkan sogokan untuk melepasi penguatkuasaan.

Iklan

"SPRM memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat melalui pendekatan perundangan serta kewangan," katanya dalam kenyataan selepas kunjungan hormat delegasi Maritim Malaysia di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Selasa.

Tambahnya, perasuah perlu dibankrapkan bagi mengelakkan mereka terus menikmati harta curi khususnya hasil rasuah yang berlaku dalam operasi dan penguatkuasaan di perairan negara.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya komited memperkukuhkan tadbir urus dan disiplin anggotanya terutama dalam operasi di laut.

Kata Mohd Rosli, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dalam perkongsian maklumat, latihan serta program pengukuhan integriti bagi memastikan operasi penguatkuasaan maritim dilaksanakan secara telus dan bebas rasuah.

"Kita turut mencadangkan pelaksanaan berterusan program Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) serta latihan teknikal Sistem Pengurusan Integriti Agensi (AIMS) supaya pematuhan dan kompetensi pegawai dapat dipertingkatkan secara menyeluruh," ujarnya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Lim Bee Kean; Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.