WASHINGTON - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio pada Isnin memperingati setahun sejak kejatuhan Bashar al-Assad, dengan menyatakan bahawa Syria telah 'memulakan lembaran baharu' dan mengambil 'langkah penting' dalam proses peralihan politiknya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Kami menghormati ketabahan rakyat Syria dan menegaskan semula sokongan kami untuk Syria yang aman dan makmur, yang merangkumi minoritinya dan hidup damai dengan semua negara jirannya,” kata Rubio dalam kenyataan di X.
Pengerusi Republikan dan Demokrat Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS pada Isnin turut mengalu-alukan pemansuhan sekatan era Assad yang dimasukkan dalam rang undang-undang pertahanan tahunan, sempena ulang tahun pertama kejatuhan rejim Assad.
"Kekuatan dan ketabahan rakyat Syria dalam menghadapi penindasan Assad … mewujudkan keadaan yang membawa kepada kejatuhan rejim dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Syria.
"Kami memuji pemansuhan sekatan Akta Caesar era Assad yang dimasukkan dalam rang undang-undang pertahanan tahunan dan menantikan kelulusannya dengan segera.
"Pada ulang tahun yang penuh harapan ini, kami kekal komited terhadap Syria yang stabil, representatif dan makmur untuk semua,” kata Pengerusi Jawatankuasa Jim Risch dan Ahli Kanan Jeanne Shaheen dalam kenyataan bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Kongres bergerak memuktamadkan Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA), yang mengandungi pemansuhan penuh Akta Perlindungan Awam Caesar Syria 2019.
Pentadbiran Trump sebelum ini menggantung sebahagian besar penguatkuasaan sekatan melalui pengecualian, namun telah mendesak penggubal undang-undang supaya menghapuskan sekatan tersebut secara kekal.
Bashar al-Assad, yang memimpin Syria hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada 8 Disember 2024, menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.
Ahmed Al-Sharaa, yang mengetuai pasukan antirejim menyingkirkan Assad, telah diisytiharkan sebagai presiden bagi tempoh peralihan pada akhir Januari. - Bernama-Anadolu