CHIANG RAI - Sebuah keluarga terpaksa meminta bantuan unit penyelamat untuk menggali semula kubur setelah mereka tersalah mengebumikan jasad seorang lelaki.
Kesilapan itu hanya disedari pada akhir minggu lalu setelah 'si mati' kembali bertemu keluarganya.
Pada mulanya, ahli keluarga lelaki berusia 48 tahun di wilayah Chiang Mai, utara Thailand itu menyangka dia telah meninggal dunia.
Jasad 'lelaki' itu kemudiannya dibawa pulang untuk upacara keagamaan dan urusan pengebumian pada 9 Januari lalu.
Laporan media tempatan bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana keluarga itu tersilap membawa pulang mayat tersebut.
Setelah proses penggalian semula kubur selesai, jasad tersebut telah dikembalikan semula kepada keluarga sebenar.
Susulan insiden itu, Khaosod Online melaporkan siasatan lanjut telah dijalankan bagi mengelakkan kesilapan sama berulang. - Agensi