ATHENS - Seorang lelaki didakwa atas pertuduhan menikam bapanya yang berusia 80 tahun hingga mati di daerah Glyfada pada Ahad, dalam insiden yang mengejutkan penduduk setempat.
Menurut pendakwa raya, suspek berusia 46 tahun itu sebelum ini pernah disabit kesalahan membunuh ibunya pada 2015 dan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun.
Rekod mahkamah menunjukkan bahawa tiga hari sebelum kematian ibunya, suspek ditahan selepas menerima aduan bahawa dia membawa pisau dan membakar tong sampah.
Berdasarkan perintah mahkamah, suspek kemudiannya dipindahkan ke kemudahan psikiatri di Penjara Korydallos dan dibebaskan pada 2018 dengan syarat ketat.
Selepas pembebasan, suspek ditempatkan di hospital psikiatri selama dua minggu sebelum dimasukkan semula tidak lama kemudian.
Dalam kejadian pada pagi Ahad itu, suspek dilaporkan menunggu bapanya ketika mangsa bersiap untuk keluar menaiki kereta sebelum menyerangnya dengan pisau.
Seorang saksi yang menghubungi pihak berkuasa berkata bahawa dia sempat mendengar jeritan mangsa yang meminta tolong sewaktu kejadian tersebut.
Suspek pula kekal berdiam diri sepanjang serangan.
Kes berkenaan kini diserahkan kepada seorang hakim penyiasat dan suspek dijangka dipanggil untuk memberi keterangan lanjut dalam masa terdekat.
Pihak berkuasa turut menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan motif sebenar serangan itu, termasuk sejarah kesihatan mental suspek.